KEJORA BANTU SAKTI KE WORLD ROBOT OLYMPIAD 2022


Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) menyampaikan peruntukan bantuan kepada Skuad Robotik Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi (SAKTI) yang akan bertanding di World Robot Olympiad (WRO) 2022 di Dortmund, Jerman / Foto Ihsan KEJORA.

 

 

ISKANDAR PUTERI — Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) semalam menyampaikan sumbangan kepada Pasukan Robotik Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi (SAKTI) ke Pertandingan World Robot Olympiad (WRO) 2022.

Dalam kenyataannya di laman sosial rasminya, sumbangan itu akan membolehkan Skuad Robotik SAKTI menampung perbelanjaan ke WRO 2022 yang akan berlangsung pada 14 hingga 22 November ini di Dortmund, Jerman.

Skuad Robotik ini disertai tiga pelajar tingkatan tiga dan akan disertai seorang guru pengiring dengan misi merebut kejuaraan kategori Junior Robotik yang turut menerima saingan peserta dari 70 negara seluruh dunia.

Pada majlis penyerahan itu, Pengurus Besar KEJORA, Dato’ Mohd Rusdi Mohd Darus menyerahkan peruntukan sebanyak RM33,246 dan bendera Jalur Gemilang kepada peserta skuad robotik berkenaan.
Mohd Rusdi berkata, pihaknya menasihatkan kepada peserta robotik berkenaan supaya memberi sepenuh komitmen supaya dapat memberikan saingan yang terbaik dalam kejohanan berkenaan.

“Semua peserta perlu mencurahkan sepenuh komitmen dan menggunakan peluang ini dengan sebaik yang mungkin serta mendengar segala arahan dan panduan yang diberikan oleh guru pembimbing.

“Peserta Skuad Robotik SAKTI juga bukan sahaja komited dalam pertandingan tetapi juga menjaga imej baik negara, sekolah dan juga KEJORA,” katanya.

Hadir sama, Penolong Pegawai Pendidikan (Bahagian Pembangunan Bakar Murid) Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Ishak Ismail, Penolong Kanan (Pentadbiran) SAKTI, Md Zain Dekan dan Pengurusan Kanan KEJORA

Beliau berkata, pihak KEJORA juga mengucapkan tahniah kepada SAKTI dan juga ibu bapa kerana banyak meluangkan masa, tenaga dan kewangan dalam memastikan penyertaan skuad robotik berkenaan ke persada dunia menjadi kenyataan.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor