KOMITED PASTIKAN KESELESAAN PERKHIDMATAN PERUBATAN


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon membuat tinjauan terhadap keadaan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, semalam. | Sumber foto: Ah Soon.

 

JOHOR BAHRU — Kerajaan Johor komited dalam memastikan perkhidmatan perubatan dan kesihatan di negeri ini, selesa dan berkualiti untuk manfaat masyarakat.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon memaklumkan perkara tersebut selepas meninjau Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, semalam.

 

“Walaupun bidang kuasa Kerajaan Negeri amat terhad terhadap sistem kesihatan, Kerajaaan Negeri Johor tetap akan berusaha membantu dan memastikan perkhidmatan perubatan Negeri Johor selesa dan berkualiti,” katanya seperti dipetik dari Facebook rasminya.

 

Dalam tinjauan tersebut, Tian Soon telah dimaklumkan mengenai kadar penggunaan katil selain melihat sendiri fasiliti dan peralatan wad di hospital tersebut.

 

“Sempat juga (saya) meninjau keadaan beberapa wad dan dimaklum oleh pengarah hospital bahawa Kadar Penggunaan Katil hampir 100 peratus setiap hari, beban kerja staf hospital amat berat.

 

“Saya meninjau enam wad dan antaranya wad yang beroperasi sejak 1992, melebihi 30 tahun perkhidmatan. Oleh itu, fasiliti dan peralatan dalam wad agak lama dan ada yang rosak,” katanya.

 

Justeru, beliau berkata, pihak hospital bersama syarikat konsesi terlibat akan berusaha memperbaiki sesetengah fasiliti dan peralatan dalam masa yang terdekat.

 

Tian Soon turut berkongsikan perkembangan semasa HSA Johor Bahru antaranya kebenaran seorang sahaja pelawat bagi setiap pesakit pada masa kini, usaha menaiktaraf kawasan letak kereta secara berperingkat serta penyediaan kipas dan kerusi baharu diperuntukkan oleh kerajaan negeri.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor