PELABURAN SPC GROUP KUKUHKAN KEDUDUKAN JOHOR DALAM INDUSTRI HALAL


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah) bersama Ting Han (tiga,kiri) pada Majlis Pecah Tanah Pusat SPC, Hab Makanan Halal Serantau Paris Baguette, semalam | Sumber Facebook Lee Ting Han

 

ISKANDAR PUTERI — Pelaburan firma Korea Selatan, SPC Group berjumlah RM130 juta di negeri ini, mengukuhkan kedudukan Johor sebagai pemain utama industri perkhidmatan dan makanan halal.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, fasa pertama pelaburan tersebut dijangka menyediakan kira-kira 100 peluang pekerjaan.

“Satu penghormatan buat kerajaan negeri apabila Johor telah dipilih SPC Group dari Korea Selatan sebagai pusat makanan halal pertama mereka.

“Pelaburan ini akan membantu mengukuhkan kedudukan Johor sebagai pemain utama dalam industri perkhidmatan dan makanan halal,” katanya selepas Majlis Pecah Tanah Pusat SPC, Hab Makanan Halal Serantau Paris Baguette, semalam.

Menyempurnakan majlis tersebut adalah, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Selain itu, Ting Han berkata, pelaburan SPC Group membuktikan kemampuan dan kekuatan Johor dalam pelbagai aspek, namun kerajaan negeri sentiasa berusaha menambah nilai sekali gus menyedia persekitaran perniagaan terbaik untuk pelabur.

“Kedudukan kita (Johor) strategik, terhubung dengan rantau Asia Pasifik. Kita ada infrastruktur yang baik termasuklah Pelabuhan Tanjung Pelepas, tersenarai antara 20 pelabuhan terbaik dunia.

“Kita juga memiliki kepelbagaian kumpulan bakat termasuklah graduan dari universiti tempatan seperti UTM, UTHM begitu juga dari universiti antarabangsa yang berada di Johor antaranya University of Southampton, University of Reading dan banyak lagi.

“Sudah tentu, kestabilan politik di peringkat negeri membantu untuk meningkatkan tahap keyakinan para pelabur,” katanya.

Beliau berkata, pelaburan tersebut juga tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Johor, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor