PENEROKA KECEWA ‘HARI RAYA’ FELDA JOHOR DIBATAL SAAT AKHIR

Warga FELDA berharap sambutan Hari Peneroka FELDA dapat diteruskan pada tarikh baharu kerana ia bukan sekadar acara tahunan, malah simbol perpaduan, penghargaan dan ikatan kekeluargaan yang diwarisi sejak generasi pertama peneroka. | Foto arkib MDJ

 

#IskandarPuteri – Keputusan membatalkan Sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Negeri Johor 2026 yang dijadual berlangsung pada 20 dan 21 Jun ini menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan warga FELDA yang menganggap acara tahunan itu umpama ‘hari raya’ bagi komuniti peneroka di negeri ini.

 

Khairul Izam Abdul Samat, 59, peneroka FELDA Sri Jaya, Tangkak menyifatkan sambutan tersebut sebagai tanda penghargaan FELDA terhadap jasa dan pengorbanan golongan peneroka, justeru penangguhannya sedikit sebanyak memberi kesan kepada emosi dan semangat warga tanah rancangan di seluruh negeri ini.

 

Katanya, ramai peneroka melihat Hari Peneroka FELDA sebagai ‘hari raya kedua’ kerana ia akan menghimpunkan komuniti yang berkongsi sejarah, pengalaman dan perjuangan yang sama dalam membangunkan tanah rancangan sejak generasi terdahulu hingga sekarang.

 

Sementara itu, Sapuan Amat, 51, peneroka FELDA Ulu Tebrau, Johor Bahru pula berkata, keputusan penangguhan pada saat akhir mengundang rasa kecewa dan terkilan kerana sambutan itu menjadi platform untuk warga peneroka bertemu kepimpinan tertinggi serta mengeratkan hubungan dengan komuniti dari tanah rancangan FELDA lain.

 

Menurutnya, program berkenaan turut memberi peluang kepada warga FELDA untuk mendapatkan maklumat mengenai pelbagai inisiatif, pencapaian dan bantuan yang boleh memberi manfaat kepada komuniti peneroka, selain ia juga menjadi simbol penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada pembangunan FELDA.

 

Beliau berkata, pelaksanaan pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri seperti Bantuan Kasih Johor (BKJ), Jualan Kasih Johor, bantuan pendidikan dan program pembangunan masyarakat membuktikan komitmen berterusan terhadap kebajikan warga FELDA.

 

Justeru, warga FELDA berharap sambutan berkenaan dapat diteruskan pada tarikh baharu kerana bagi mereka, Hari Peneroka FELDA bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya simbol perpaduan, penghargaan dan ikatan kekeluargaan yang telah terjalin sejak daripada generasi pertama peneroka lagi.

 

#JohorSafeZone
#GenerasiFELDAJohor
#SegalanyaFELDA
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor