SWM KASIH SANTUNI 50 KANAK-KANAK SEMPENA KRISMAS


SWM Environment melaksanakan inisiatif CSR di bawah entiti SWM Kasih dengan menyantuni 50 kanak-kanak dari Pusat Kebajikan Kalvari Johor Bahru.

 

ISKANDAR PUTERI — SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah entiti SWM Kasih dengan menyantuni 50 kanak-kanak dari Pusat Kebajikan Kalvari Johor Bahru.

Kesemua kanak-kanak itu disantuni menerusi program SWM Kasih Christmas Celebration bertemakan kesihatan dan kelestarian alam sekitar.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, siri program SWM Kasih dianjurkan sempena sambutan Krismas dan musim cuti persekolahan itu berkongsi kemeriahan perayaan tersebut.

Menurutnya, malah siri program itu juga turut tampil dengan pengisian aktiviti untuk membentuk kesedaran tentang penjagaan kesihatan dan alam sekitar seiring dengan sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

“SWM Environment turut menyalurkan sumbangan SWM Kasih berbentuk barangan keperluan dapur bagi meringankan beban pengurusan pusat kebajikan tersebut.

“Sementara itu, pihak SWM Environment juga menceriakan kanak-kanak berkenaan melalui aktiviti luar asrama dengan menonton tayangan filem animasi di panggung wayang,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Mohd Norlisam menyambut baik kerjasama julung kali dijalinkan dengan KPJ Johor Specialist Hospital menerusi Aktiviti Penjagaan Kesihatan sekali gus mencapai objektif program SWM Kasih tersebut.

Ujar beliau, kerjasama dalam program CSR itu memberi nilai tambah dan melengkapi peranan kedua-dua organisasi kepada golongan yang memerlukan di Negeri Johor.

“Kakitangan KPJ Johor Specialist Hospital telah menyelaras aktiviti penjagaan kesihatan dengan pengisian berbentuk taklimat kesedaran dan demonstrasi pencegahan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD).

“Penghuni pusat kebajikan turut tidak ketinggalan memeriahkan program menerusi persembahan Karol Krismas dan disusuli dengan pengagihan saguhati daripada pihak SWM Environment dan KPJ Johor Specialist Hospital,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor