WARGA FELDA ‘TABIK’ KERAJAAN JOHOR


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir menyantuni warga peneroka sempena Karnival Segalanya FELDA di Padang Awam FELDA Pemanis 1, Segamat. | Foto Ihsan MEDKOM

 

Walaupun Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) adalah di bawah kerajaan pusat namun bagi golongan peneroka di negeri ini perlu berasa bertuah kerana mereka sentiasa mendapat perhatian daripada Kerajaan Negeri Johor.

 

Malah Kerajaan Negeri Johor sentiasa berusaha, prihatin dan sentiasa mengambil berat keperluan dan hal ehwal semasa masyarakat peneroka bagi memastikan soal kebajikan mereka akan terus mendapat perhatian yang sewajarnya.

 

Perkara itu disahkan sendiri oleh Sulong Jamil Mohamad Shariff, Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan yang turut menganggap warga peneroka di Johor
sentiasa diberi perhatian daripada pihak Kerajaan Negeri khususnya di hati YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, sendiri.

 

Katanya, kerjasama baik yang diberikan kumpulan peneroka kepada Kerajaan Johor jelas dapat memberikan manfaat menerusi pemberian geran pentadbiran dan pengurusan bernilai RM710,000 yang kemudiannya diagihkan kepada 71 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) FELDA bagi memperkukuh institusi FELDA di Johor.

 

Selain itu, Sulong Jamil turut menghargai keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap golongan belia FELDA di Johor menerusi peruntukan RM350,000 bagi geran pentadbiran dan pengurusan kepada 70 Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) Johor untuk tujuan melaksanakan program peningkatan kemahiran dan jati diri Orang Muda Johor (OMJ).

 

Sementara itu, Abdul Hadi Mohamad, Ketua Peneroka FELDA Wilayah Segamat menganggap sentuhan kasih yang diberikan Kerajaan Johor kepada warga FELDA di negeri ini sememangnya amat diperlukan dan dinanti-nantikan oleh masyarakat secara keseluruhan.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir menyantuni warga peneroka sempena Karnival Segalanya FELDA di Padang Awam FELDA Pemanis 1, Segamat.

 

Hadir sama ialah YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Luar Bandar Negeri Johor; YB Mohd Hairi Md Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor