ENROLMEN PELAJAR STEM JOHOR MENINGKAT


YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Usaha pembangunan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran menerusi program dan aktiviti berkaitan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dilaksanakan Kerajaan Negeri bersama Kementerian Pendidikan (KPM) berjaya menunjukkan hasil positif dan menggalakkan.

 

Pencapaian berkenaan didukung dengan peningkatan peratusan enrolmen pelajar STEM Tingkatan 4 Negeri Johor iaitu sebanyak 50.24 peratus setakat Mac lalu berbanding 45.73 peratus pada tahun 2023 sekali gus dijangkakan mencapai 60 peratus pelaksanaan STEM pada tahun 2028.

 

Selain itu, kecemerlangan pelajar Negeri Johor dalam aktiviti STEM juga telah membantu pasukan KPM melakar kejayaan dalam program di peringkat antarabangsa selain meraih pencapaian membanggakan menerusi pertandingan di peringkat kebangsaan.

 

Bagi memperkasa sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) STEM di dalam kelas, Program Duta Guru (PDG) diwujudkan bagi menambah baik pedagogi STEM seterusnya membangunkan keupayaan guru bagi meningkatkan minat dan kebolehan pelajar dalam STEM dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

 

Untuk rekod, Negeri Johor mempunyai seramai 142 Duta Guru dan Peserta Duta Guru dan daripada jumlah tersebut, 49 guru dari Kohort 1, 2 dan 3 sudah dianugerahkan sebagai Duta Guru manakala 39 guru dari Kohort 4 dan 54 guru dari Kohort 5 masih dalam sesi latihan.

 

Terdahulu, YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menjawab pertanyaan YB Hasrunizah Hassan, Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan Pulai Sebatang berhubung peratusan pencapaian pelaksanaan STEM di negeri ini, pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor