REFORMASI PENDIDIKAN: SUKAR TAPI TIDAK MUSTAHIL


Gambar hiasan. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Aspirasi DYAM Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail supaya silibus mata pelajaran di sekolah sewajarnya diberi perhatian serius oleh semua pihak kerana ia akan menentukan tahap modal insan generasi akan datang.

 

Datuk Dr. Prof Ismail Sualman, Profesor di Fakulti Komunikasi dan Pengajaran Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), berkata perkara ini tidak boleh dipandang mudah kerana apa yang dititahkan oleh Tunku Mahkota Ismail bukan sahaja demi masa depan Johor semata-mata kerana ia turut mencakupi proses penting kelahiran modal insan berkualiti di seluruh negara.

 

“Walaupun saya nampak (hasrat Baginda) ia agak sukar dilakukan di peringkat nasional sebab ia datang dari sebuah negeri… Tetapi kenapa tidak? (merealisasikan idea berkenaan). Jika tidak pun, saya rasa ia boleh dilaksanakan di sekolah agama milik Kerajaan Johor.

 

“Kita lihat sebelum ini jika sekolah agama lebih menitik beratkan pendidikan agama, tetapi ia masih boleh diselarikan dengan keperluan teknologi dan pembangunan modal insan,” katanya ketika diminta mengulas lanjut Titah Ucapan DYAM Tunku Mahkota Ismail yang menyarankan pembaharuan silibus mata pelajaran yang sudah tidak relevan di sekolah ketika merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor ke-15, Khamis lalu.

 

Ismail yang juga penganalisis politik dan ahli akademik berkata, pendidikan agama tidak lagi hanya sekadar berkaitan soal fardu kifayah dan fardu ain semata-mata tetapi ia juga perlu membekalkan ilmu kehidupan kepada pelajar supaya mereka mampu menjadi modal insan yang lebih mampan.

 

“Setidaknya mungkin pendidikan agama di Johor boleh memperkenalkan subjek keusahawanan sebagai contohnya. Ini bermaksud kita selarikan pendidikan agama itu dengan ilmu berkaitan perniagaan, tentang teknologi dan juga dari segi kecelikan IT (bidang teknologi komunikasi).

 

“Saya rasa ia dapat dilakukan dan ia juga adalah benda baharu yang dapat meningkatkan lagi nama dan imej Negeri Johor,” katanya.

 

Ujar anak kelahiran Senggarang, Batu Pahat itu lagi, sebagai seorang pendidik, beliau juga lebih suka melihatkan sektor pendidikan itu sebagai ‘core business’ yang bukan meningkatkan mutu pendidikan tetapi juga kualiti modal insan yang dihasilkan.

 

“Saya bersetuju dengan apa yang telah dititahkan oleh Baginda ini. Bagaimanapun, ia juga perlu disahut oleh pentadbiran Negeri Johor supaya ia tidak sekadar ucapan semata-mata.

 

“Saya boleh katakan ia sebagai satu pembaharuan, inovasi, pembubaran semula sektor pendidikan ini. Jika kita melihatkan ‘technopreneurship’ sebagai keutamaan, saya ingat mereka ini jika tidak masuk ke universiti sekali pun, mereka dapat hidup dan membantu ekonomi Johor dan negara menerusi ilmu perniagaan yang dimiliki kelak,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor