JOHOR PROMOSI SOSIOBUDAYA ORANG ASLI


YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Bagi memperkenal dan mempromosikan kepelbagaian budaya Orang Asli kepada masyarakat, Karnival Orang Asli Negeri Johor Tahun 2024 akan dilaksanakan melibatkan tiga siri iaitu Zon Utara, Tengah dan Selatan yang bakal dirasmikan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor pada bulan hadapan.

 

Selain itu, karnival berkenaan menjadi platform untuk melahirkan masyarakat berbudaya, memahami sejarah dan identiti bangsa serta mengumpul dan mengeratkan tali persaudaraan suku-suku kaum orang Asli di negeri ini.

 

Pelbagai aktiviti menarik akan dilaksanakan antaranya kebudayaan dan adat resam mengikut etnik, pameran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta pelbagai agensi kerajaan dan swasta, pertandingan selain demonstrasi yang membuka peluang mendalami sosiobudaya masyarakat Orang Asli.

 

Untuk rekod, terdapat 60 kampung orang asli di Negeri Johor dengan jumlah 4,979 keluarga terdiri 18,854 penduduk dari enam suku utama iaitu Jakun, Kuala, Seletar, Kanaq, Temuan dan Semelai yang sentiasa diberikan perhatian oleh Kerajaan Negeri dari sudut kesejahteraan serta kebajikan.

 

Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM1 juta dalam Belanjawan Johor 2024 yang melibatkan pemberian tambahan elaun kepada Ketua Masyarakat Orang Asli atau Tok Batin, pelaksanaan Program Kampung Orang Asli Sejahtera serta penganjuran pelbagai program pembangunan dan kemasyarakatan.

 

Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menjawab soalan YB Fauziah Misri, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kawasan Penawar dan YB Tan Chong, ADN Kawasan Bekok secara bersekali mengenai usaha memperkenalkan sosiobudaya Orang Asli kepada masyarakat pada Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor