EXCO KERAJAAN JOHOR TEGUR PERBUATAN BUANG SAMPAH MERATA-RATA


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid (kiri) meninjau Jalan Kampung Bintang Lama, Batu Pahat.

 

ISKANDAR PUTERI — Perbuatan tidak bermoral masyarakat membuang sampah di Jalan Kampung Bintang Lama, dekat Batu Pahat, mendapat perhatian Exco Kerajaan Johor.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid meluahkan rasa kesal terhadap perkara itu menerusi perkongsian di laman Facebook miliknya.

 

“Lihat, pihak berkuasa dah tutup dan tanda kawasan ini dengan ‘tape’ kuning bulan lepas, tetapi masih ada ‘orang luar’ yang buang sampah di kawasan ini.

 

“Saya tak tahu nak cakap macam mana. Siapa yang buang, dia patut malu dengan diri sendiri. Perkara ini bahaya boleh bawa macam-macam penyakit, pencemaran untuk orang kampung.

 

“Saya tak akan berkompromi lagi,” ujar beliau dalam sesi ‘Facebook Live’ ketika melawat kawasan tersebut, semalam.

 

Mohd Fared yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah memberitahu sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa selain menggesa tindakan segera diambil pada minggu depan.

 

“Saya dah panggil pihak SWM Environment untuk bersihkan tempat ini. Selepas itu, saya akan turap dengan tanah merah dan tanam pokok-pokok untuk jadikan landskap,” katanya.

 

Beliau memberi amaran tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas pihak yang melakukan perbuatan itu.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor