PROGRAM ‘4R@COMMUNITY’ FKAAB RAPATKAN HUBUNGAN DUA NEGARA


Program ‘4R@Community’ itu merupakan satu program berbentuk pemindahan ilmu yang telah diadakan di Sekolah Madrasah Ibtidaiah (MI) Alam Robbani di Jatisampurna, Bekasi, Jawa Barat, Indonesia pada minggu lalu. | Foto ihsan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

ISKANDAR PUTERI — Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (FKAAB-UTHM) telah melaksanakan program mobiliti antarabangsa bersama Universitas Mercu Buana (UMB), Jakarta, Indonesia.

 

Program ‘4R@Community’ itu merupakan satu program berbentuk pemindahan ilmu yang telah diadakan di Sekolah Madrasah Ibtidaiah (MI) Alam Robbani di Jatisampurna, Bekasi, Jawa Barat, Indonesia pada minggu lalu.

 

Penyelaras program, Prof. Madya Ts. Dr. Rafidah Hamdan, berkata program itu diadakan bagi menerapkan nilai-nilai murni kepada generasi muda iaitu reduce, reuse, recyle dan recovery dalam menguruskan sisa harian.

 

“Dengan berkonsepkan ‘Waste to Wealth’, pihak kami mengitar semula sisa makanan menjadi sesuatu yang lebih berharga iaitu baja kompos,” katanya.

 

Sementara itu, Profesor Madya Dr. Nur Shaylinda Mohd Zin yang mengetuai sesi demo penyediaan baja kompos berkata, transformasi sisa makanan kepada produk lain dapat dilakukan secara ‘hands-on’.

 

“Penganjuran program mobiliti antarabangsa bukan sahaja memberi manfaat kepada pihak sekolah, namun turut memberi pengalaman baharu kepada para pelajar untuk berinteraksi dengan komuniti setempat.

 

“Di samping itu, kita dapat menggalakkan lagi budaya kitar semula sisa makanan dalam kalangan masyarakat dan melupuskannya di tempat pelupusan sampah,” tambahnya.

 

Program ‘4R@Community’ juga memberi peluang kepada pelajar untuk menjadi duta kecil bagi mempromosikan UTHM serta meningkatkan kemahiran generik yang hanya boleh didapati di luar waktu kuliah.

 

Penyelaras Program Pengabdian Kepada Masyarakat UMB, Dr. Isradi Muhammad berharap program seperti itu dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang.

 

“Kami berhasrat untuk menjadikan Sekolah Alam Robbani sebagai sekolah binaan atau sekolah angkat UTHM kelak,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor