GESA SPRM, PKPJ AMBIL TINDAKAN


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) digesa bekerjasama untuk mengambil tindakan ke atas pihak tidak bertanggungjawab yang terlibat dengan penyamaran sebagai ejen menawarkan perumahan kepada rakyat.

 

Secara tegas, Kerajaan Negeri menyifatkan perbuatan terbabit sebagai jijik dan menjengkelkan kerana mengambil kesempatan atas kesusahan dan kesempitan orang lain sekali gus perlu diberikan pengajaran serta hukuman berat supaya tidak berulang lagi.

 

Isu kewujudan kartel dan ejen mengaku dan menyamar sebagai pegawai PKPJ yang boleh meluluskan permohonan memiliki rumah mampu milik dan mendiami Program Perumahan Rakyat (PPR) dibangkitkan di dalam Dewan Negeri Johor mendapat perhatian Kerajaan Negeri.

 

Malah seperti yang telah dibangkitkan juga, terdapat dalam kalangan mereka terlibat dengan perbuatan disifatkan sebagai ‘menangguk di air keruh’ itu telah memungut yuran perkhidmatan antara RM3,000 hingga RM7,000 bagi setiap permohonan.

 

Dalam perkembangan lain, Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian terhadap isu berkaitan jaringan jalan raya sebagai mod perhubungan utama dari satu lokasi ke lokasi lain termasuklah yang dibangkitkan Ahli Dewan Negeri Johor.

 

Kealpaan dan kelewatan untuk segera menangani isu berkenaan boleh mengakibatkan kecelakaan dan berkemungkinan meragut nyawa pengguna jalan raya malah telah sering diberikan penekanan agar agensi bertanggungjawab tidak mengambil mudah dan segera mengambil tindakan sewajarnya.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor