GOL BANTU USAHAWAN


Usahawan Makanan Sediaan Rumah, Shyma Mahmud berkata, bantuan GOL yang diselia oleh Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) telah menukarkan statusnya daripada hanya seorang suri rumah biasa kepada usahawan kecil yang berjaya. Foto Ihsan Shyma Mahmud.

 

Oleh: Farhanah Haziqah Noh

 

Usaha Kerajaan Negeri Johor memperkenalkan Geran Program PKS Makmur Johor atau lebih dikenali sebagai Geran Orang Lokal (GOL) ternyata mampu memperkasakan keusahawanan di negeri ini, sekali gus dapat membantu lebih ramai rakyat untuk menjana pendapatan dalam pelbagai sudut ekonomi.

 

Ia dapat dibuktikan apabila seramai 1,022 usahawan berjaya menerima manfaat menerusi inisiatif berkenaan yang membabitkan seramai 419 usahawan pada tahun 2022 dan meningkat kepada 603 usahawan pada tahun ini.

 

Usahawan Makanan Sediaan Rumah, Shyma Mahmud memberitahu, bantuan GOL yang diselia oleh Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) itu telah menukarkan statusnya daripada hanya seorang suri rumah biasa kepada usahawan kecil yang berjaya selepas mengharungi cabaran pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan pendapatan keluarganya sebelum ini.

 

“Alhamdulillah, saya juga berterima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri khususnya PUJB kerana membantu membiayai pembelian peralatan mesin untuk membuat makanan. Ia banyak memberi manfaat terutama dalam mengembangkan lagi perniagaan saya dari kecil sehinggalah kemajuan yang dikecapi sekarang,” katanya kepada Media Digital Johor.

 

Bagi Pengusaha Kek Lapis yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Wai pula memberitahu, pihaknya juga amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang sentiasa memberi perhatian kepada golongan usahawan atau pendatang baharu dalam perniagaan dengan menyediakan pelbagai skim bantuan yang sememangnya amat diperlukan.

 

“Alhamdulillah, dengan bantuan sama ada dari segi kewangan atau peralatan yang disediakan oleh kerajaan ini dapat membolehkan kami menggandakan usaha untuk menerokai peluang pasaran. Saya berharap pihak kerajaan akan dapat terus menyediakan pelbagai kemudahan seumpama ini pada pembentangan Belanjawan Johor 2024 yang akan datang,” katanya.

#BelanjawanJohor2024
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor