GURU SAKJ SAMBUT BAIK KEMPEN SEKOLAHKU SEJAHTERA-1T
ISKANDAR PUTERI — Kempen Sekolahku Sejahtera-1T dilaksanakan Kerajaan Negeri, disambut baik guru-guru Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ).
Guru Besar Sekolah Agama (SA) Taman Universiti, Nor Hayati Mohd Yatim menyokong penuh inisiatif melibatkan seluruh sekolah agama di Johor.
“Saya amat menyokong kempen ini kerana ia memberi ruang kepada murid-murid untuk menjadi masyarakat yang bertanggungjawab dalam mengurus dan menggunakan tandas.
“Apabila tandas dapat berfungsi dengan baik, murid-murid akan terdidik untuk lebih menjaga kebolehfungsian prasarana di dalam tandas,” katanya.
Bagi Guru Besar SA Tebing Runtuh, Anila Abdullah memuji usaha dilakukan Kerajaan Johor yang dilihat perlu demi keselesaan dan kesejahteraan warga sekolah khususnya pelajar.
“Sekolah agama sememangnya memerlukan perhatian Kerajaan Negeri dalam membaik pulih kerosakan-kerosakan yang berlaku di tandas sekolah dan alhamdulillah, hasrat kami didengari melalui kempen ini.
“Saya memuji usaha murni Kerajaan Negeri dengan mengadakan inisiatif-inisiatif yang menjaga kebajikan sekolah-sekolah agama di negeri ini dan saya berharap ia dapat diteruskan,” ujarnya.
Manakala, Guru Besar SA Bandar Johor Bahru memaklumkan kempen itu dapat memberi impak positif termasuk peningkatan prestasi pembelajaran murid-murid.
“Menerusi inisiatif ini, diharap guru-guru dan murid-murid dapat menggunakan kemudahan yang dibaik pulih secara cermat dan baik.
“Mudah-mudahan inisiatif yang disalurkan Kerajaan Negeri dapat memberi keselesaan khususnya kepada murid-murid, sekali gus meningkatkan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dan kemajuan prestasi murid-murid SAKJ,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid memaklumkan, Kerajaan Negeri menetapkan sasaran ‘sifar kerosakan’ terhadap infrastruktur tandas di 585 SAKJ menjelang Ogos ini.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor