KERAJAAN NEGERI SASAR PENINGKATAN PENCIPTAAN DAN PEMILIKAN HARTA INTELEK


Pengarah Eksekutif PUJB, Mohd Radzi Mohd Amin merasmikan Program Pengkomersialan Harta Intelek Cohort 2 bagi tahun 2023. | Foto ihsan Facebook Perbadanan Usahawan Johor

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor mensasarkan penambahan bilangan penciptaan dan pemilikan harta intelek dengan mewujudkan syarikat hiliran menerusi Program Pengkomersialan Harta Intelek Cohort 2 bagi tahun 2023.

 

Memetik siaran dimuat naik dalam Facebook rasmi Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB), program berkenaan juga mampu memperkasakan aktiviti tekno-keusahawanan di negeri ini.

 

“Selain itu, program ini bertujuan untuk memberi bimbingan dan khidmat nasihat kepada syarikat-syarikat yang terlibat dalam pengkomersialan harta intelek dan teknologi tempatan melalui program inkubasi dan ‘accelerator’.

 

“(Program juga) dapat meningkatkan kadar pengkomersilan harta intelek dalam Negeri Johor dan meningkatkan jumlah usahawan berteknologi serta berkemahiran dalam teknologi-teknologi baharu,” katanya.

 

Terdahulu, Program Pengkomersialan Harta Intelek Cohort 2 bagi tahun 2023 telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengarah Eksekutif PUJB, Mohd Radzi Mohd Amin selaku wakil rasmi Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

 

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Mohammad Hazani Hassan serta Penolong setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ), Noor Atika Idayu Othman.

 

Program Pengkomersialan Harta Intelek merupakan anjuran Kerajaan Johor melalui anak syarikat Kumpulan Permodalan Darul Ta’zim (PDT), PUJB dengan kerjasama MTDC.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor