HALA TUJU EKONOMI JOHOR TEPAT
#IskandarPuteri – Johor berada di landasan tepat untuk memacu hala tuju ekonomi yang membangun susulan kejayaan demi kejayaan dicatatkan pentadbiran negeri terutama dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini termasuk menarik pelaburan sebanyak RM43.05 bilion pada tahun lalu.
Nilai pelaburan tersebut melibatkan 751 projek diluluskan telah mencipta 19,053 peluang pekerjaan dengan pelaburan asing langsung (FDI) yang merekodkan RM31 bilion bersamaan 72 peratus manakala pelaburan domestik langsung (DDI) pula sebanyak RM12.05 bilion.
Justeru, Prof Madya Dr. L. Nanthakumar, Pensyarah Fakulti Pengurusan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkeyakinan Kerajaan Negeri sememangnya sudah mempunyai visi jelas dalam merangsang pertumbuhan ekonomi menerusi Belanjawan Johor 2025 yang akan dibentangkan 21 November ini.
Antara usaha yang bakal diberikan tumpuan adalah merancakkan pembangunan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain sektor pertanian dan pelancongan yang mampu merangsang perkembangan pesat ke seluruh Johor serta menghadirkan kesan berganda terhadap ekonomi setempat.
Selain itu, hubungan dan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan disokong dasar mesra perniagaan membolehkan Johor kini menjadi destinasi tumpuan pelaburan serta pembangunan baharu berbanding tumpuan sepenuhnya yang diberikan kepada kawasan sekitar Lembah Klang sebelum ini.
Nanthakumar turut menjangkakan Kerajaan Negeri akan membentangkan sebuah belanjawan holistik merangkumi pembangunan dan kebajikan sosial termasuk jaringan pengangkutan yang efisien dalam usaha menjadikan Johor sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara seterusnya menjadi negeri maju menjelang 2030.
#BelanjawanJohor2025
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor