IPU MELEBIHI 100, AKTIVITI LUAR SEKOLAH PERLU DITANGGUH

Keadaan jerebu dengan bacaan yang membimbangkan di kawasan Iskandar Puteri mendapat perhatian Dr. Muhammad Naqib Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor. | Foto FB Dr Naqib Ghazali
#IskandarPuteri – Semua sekolah di Johor diingatkan supaya sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setempat dan mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi kesihatan serta keselamatan murid susulan keadaan jerebu yang berlaku ketika ini.
Sekiranya bacaan IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah termasuk sukan, kokurikulum serta program atau keramaian di kawasan luar hendaklah ditangguhkan bagi mengurangkan pendedahan murid dan warga sekolah kepada keadaan udara yang tercemar.
Bagi bacaan IPU melebihi 200 pula, sekolah di kawasan atau daerah terlibat hendaklah ditutup mengikut ketetapan dan panduan yang sedang berkuat kuasa.
Pihak sekolah juga perlu memantau perkembangan jerebu dan bacaan IPU dari semasa ke semasa serta memastikan murid tidak terdedah kepada aktiviti luar sekiranya keadaan masih tidak mengizinkan.
Warga sekolah juga disarankan menggunakan pelitup muka yang bersesuaian, memastikan pengambilan air mencukupi serta mengambil langkah penjagaan kesihatan yang sewajarnya.
Bagi murid yang menunjukkan tanda-tanda tidak sihat pula hendaklah segera dirujuk kepada ibu bapa atau penjaga untuk tindakan lanjut.
Orang ramai boleh mendapatkan bacaan IPU terkini menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui laman sesawang rasmi mereka.
Terdahulu, YB Dr. Muhammad Naqib Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor mengingatkan supaya aspek kesihatan dan keselamatan murid terus diberi keutamaan susulan keadaan jerebu yang berlaku ketika ini.
#JohorSafeZone
#PendidikanJohor
#Jerebu
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


