HSA KOMITED TANGANI ISU KESESAKAN PARKIR AWAM


Kerajaan Johor menerusi PAJ menyediakan ‘shuttle bus’ secara percuma bagi mengatasi masalah kekurangan parkir di perkarangan HSA Johor Bahru | Sumber gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Pengurusan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru sentiasa berusaha mencari penyelesaian dan membuat penambahbaikan bagi menangani masalah kesesakan kawasan letak kenderaan.

 

Pengarahnya, Dr. Mohtar Pungut berkata, peningkatan jumlah pesakit menjadikan kawasan parkir awam HSA semakin sesak serta tidak dapat digunakan oleh semua pelawat pada satu masa.

 

Menurut beliau, kawasan letak kenderaan HSA Johor Bahru juga sudah mencapai kapasiti maksimum dan tidak mampu menampung peningkatan jumlah pesakit dan kenderaan saban tahun.

 

“Langkah awal mengatasi isu parkir ini telah mendapat kerjasama Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) dengan menyediakan ‘shuttle bus’ secara percuma dari Pasar Awam Larkin ke HSA Johor Bahru bagi mengatasi masalah kekurangan parkir di perkarangan HSA Johor Bahru yang dialami ketika ini.

 

“Perkhidmatan kemudahan bas ulang alik ini telah bermula pada 30 Oktober 2022 dan didapati telah banyak memudahkan orang awam khususnya mereka yang ingin mendapatkan rawatan atau berkunjung ke HSA Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

 

Mengulas lanjut, Mohtar berkata, ‘shuttle bus’ tersebut melalui tiga hentian bas iaitu Jejantas Plaza Larkin, HSA Johor Bahru dan berakhir di Klinik Kesihatan (KK) Mahmoodiah dengan tempoh kekerapan bas selama 15 minit pada sebelah pagi dan 30 minit sebelah petang.

 

“Ia beroperasi lima hari seminggu, iaitu dari Ahad hingga Khamis bermula dari jam 6.30 pagi hingga 6 petang,” kata beliau.

 

Selain itu, beliau turut merujuk kepada sidang media dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon pada 20 Julai 2022 yang lalu, bahawa kerajaan negeri akan mengatasi isu parkir HSA Johor dengan langkah menyediakan tapak meletakkan kenderaan di kawasan Penjajara Ayer Molek.

 

“Pengurusan HSA Johor Bahru sedaya upaya berusaha mencari penyelesaian dan penambahbaikan lot letak kenderaan bagi memberi ruang tambahan serta keselesaan kepada orang awam dan kakitangan.

 

“Pelanggan HSA Johor Bahru amat digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan ‘shuttle bus’ ini sebagai langkah untuk mengtasi masalah kesesakan dan masalah mencari petak parkir kenderaan yang sering berlaku di HSA Johor Bahru,” katanya beliau.

 

Terdahulu, tular satu video di media sosial menerusi aplikasi TikTok berhubung isu parkir di perkarangan HSA Johor Bahru, semalam, di mana isu tersebut kini dalam tindakan untuk penelitian dan pemerhatian selanjutnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor