FOKUS TINGKAT HUBUNGAN JOHOR-SINGAPURA


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengetuai delegasi kerajaan negeri dalam lawatan rasmi ke Singapura yang menjadi platform bagi meningkatkan hubungan baik antara Johor dan Singapura | Sumber gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Lawatan rasmi selama tiga hari ke Singapura menjadi platform kepada Kerajaan Johor bagi meningkatkan hubungan baik antara negara republik tersebut bersama negeri ini.

 

Mengetuai delegasi Kerajaan Johor ke negara jiran bermula semalam, adalah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

 

Onn Hafiz berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat antarabangsa berpengkalan di Singapura termasuklah AirTrunk, sebuah syarikat pusat data skala besar yang terbesar di Asia Pasifik dan Jepun.

 

Menurut beliau, pertemuan turut diadakan bersama syarikat Wilhelmsen, salah satu kumpulan maritim terkemuka di peringkat global serta beberapa lagi pelabur berpotensi dari lain-lain negara.

 

“Nilai potensi pelaburan yang boleh dicapai hasil pertemuan-pertemuan ini adalah sekitar RM10 bilion ke RM15 bilion.

 

“Selain ribuan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk Bangsa Johor, limpahan ekonomi dan pembangunan yang bakal dijana hasil pelaburan ini, sudah tentu akan membawa lebih kemakmuran kepada rakyat di negeri ini.

 

“Kesemua ini menunjukkan Johor terus kekal menjadi destinasi pilihan utama bagi pemain-pemain industri bertaraf global,” katanya beliau di Facebooknya, semalam.

 

Onn Hafiz berkata, Kerajaan Johor dengan bantuan kerajaan persekutuan komited untuk menjadi pemudahcara dari segi penyediaan utiliti dan infrastruktur, sehinggalah kepada insentif cukai.

 

Komitmen tersebut, kata beliau, bagi menghasilkan suasana perniagaan yang lebih mesra pelabur dari serata dunia.

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Dato’ Mohamed Ridha Abd Kadir.

 

Selain itu, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim; Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Singapura, Vinothan Tulisinathzan.

 

Hadir sama, Ketua Eksekutif Invest Johor, Zarina Abdul Kadir; Ketua Pegawai Eksekutif Johor Economic, Tourism and Cultural Office Singapore (JETCO), Saifuddin Abdul Rahim serta Pengurus Invest Johor, Sarkawi Zainal Abidin.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor