HUBUNGAN JOHOR, SINGAPURA SEBAGAI RAKAN STRATEGIK BERI MANFAAT
ISKANDAR PUTERI — Kenyataan seorang pemimpin kanan politik bahawa rakyat Singapura akan ke Malaysia jika gabungan partinya menjadi kerajaan, baru-baru ini, disifatkan sebagai tidak berasas dan memberikan manfaat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, seperti dimaklumkan Menteri Besar, kerajaan negeri menganggap Kerajaan Singapura sebagai rakan strategik.
Menurutnya, menerusi kerjasama menang-menang antara Johor dan kerajaan republik itu akan dapat memanfaatkan kedua-dua belah pihak.
“Ucapan sebegini telah menjadi buah mulut bukan sahaja di Johor Selatan, tetapi juga di Singapura. Kata-kata yang tidak bernas seperti itu tidak akan memberi manfaat kepada negara kita.
“Dalam hal ini, YAB MBJ (Menteri Besar Johor) telah berkali-kali menyebut bahawa Kerajaan Negeri Johor menganggap Singapura sebagai rakan strategik dan hanya melalui kerjasama menang-menang sahaja dapat memanfaatkan Johor dan Singapura,” katanya dalam satu majlis, semalam.
Selain itu, Ting Han berkata, selepas projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS Link) siap dibina dan beroperasi, hubungan Johor dan Singapura dijangka akan menjadi lebih erat.
Katanya lagi, sejurus dilantik sebagai Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi banyak berkomunikasi dengan rakyat segenap lapisan untuk memahami keperluan seterusnya menggubal dasar yang lebih pro-rakyat dan perniagaan.
“Ini telah mengukuhkan keyakinan pelabur di Johor dan secara langsung menyumbang kepada pertumbuhan pelaburan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
“Kita tahu bahawa Johor Selatan adalah tempat di mana aktiviti perniagaan berkembang pesat dan ia bersebelahan dengan sebuah negara maju,” katanya.
Justeru, beliau menyeru kepada semua pihak untuk memilih sebuah kerajaan yang boleh membawa kestabilan dan kemakmuran dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Bukannya pasukan yang ada rekod menjejaskan hubungan Malaysia dengan rakan dagangan utama seperti China, India dan Singapura dalam tempoh antara pertengahan 2018 hingga awal 2020,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor