ZON KLUANG MUNCUL JUARA KESELURUHAN KASWIRA 2022


Kontinjen Zon Kluang menjuarai Karnival Sukan Wilayah KEJORA (KASWIRA) 2022 yang berlangsung di Bandar Tenggara, Kota Tinggi / Foto Ihsan KEJORA.

 

ISKANDAR PUTERI — Zon Kluang muncul juara keseluruhan Karnival Sukan Wilayah KEJORA (KASWIRA) 2022 yang berlangsung di Bandar Tenggara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Hahasrin Hashim berkata pihaknya berharap melalui penganjuran sukan seumpama ini akan dapat menyatukan kaum di negeri ini.

“Sukan boleh menjadi medium untuk kira menjalinkan ukhuwah antara sesama penduduk kampung, jabatan dengan jabatan dan juga jabatan dengan penduduk kampung dalam suasana yang muhibbah.

“Sukan juga adalah satu perkara yang boleh dilibatkan khususnya golongan muda untuk menambahkan pendapatan atau kerjaya mereka.

“Kita boleh melihat sukan seperti e-sport yang banyak melahirkan atlit yang berjaya dan juga menjadi sumber pendapatan mereka. Ia adalah satu perkara yang baik untuk dipelopori oleh anak muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan KASWIRA 2022 di Bandar Tenggara di sini, semalam.

Hadir sama ialah Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Dato’ Mohd Rusdi Mohd Darus, Pengurusan Kanan KEJORA, Penghulu-Penghulu Mukim serta Pengerusi JPKK Wilayah KEJORA.

Hahasrin yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah turut meluangkan masa beramah mesra bersama peserta KASWIRA 2022.

Sebanyak 13 acara dipertandingan pada kejohanan dwi-tahunan ini dengan setiap perkampungan tradisi wilayah KEJORA dipecahkan kepada empat zon utama iaitu Zon Pengerang, Zon Kota Tinggi, Zon Sedili dan Zon Kluang dengan penyertaan 450 atlit.

Zon Kluang muncul sebagai juara keseluruhan KASWIRA 2022 manakala Zon Pengerang pula dinobatkan sebagai pasukan terbaik kejohanan berkenaan.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor