IIB JALIN USAHASAMA INDUSTRI EV


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar hadir menyampaikan pertukaran dokumen bersama tujuh rakan usahasama industri kenderaan elektrik (EV).

 

ISKANDAR PUTERI — Iskandar Investment Berhad (IIB) mengumumkan pertukaran dokumen bersama tujuh rakan usahasama industri kenderaan elektrik (EV), pada Isnin.

 

Hadir menyampaikan pertukaran dokumen berkenaan adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar.

 

Pertukaran dokumen tersebut bagi menggalakkan penggunaan EV dan penyelesaian tenaga boleh baharu di kawasan Iskandar Puteri.

 

Raven Kumar berkata, pertukaran dokumen itu menandakan peristiwa penting dalam perjalanan Johor ke arah pembangunan mampan dan masa hadapan rendah karbon.

 

Menurutnya, usahasama berkenaan menjadi bukti komitmen jitu antara IIB dan rakan strategik dalam usaha mencipta Johor lebih hijau dan bebas karbon.

 

“Kita seharusnya sedar akan keperluan mendesar menangani cabaran pelepasan karbon dan kemerosotan alam sekitar. Alam sekitar merupakan tanggungjawab kita bersama.

 

“Marilah kita bekerjasama memelihara keindahan alam semula jadi Johor untuk generasi akan datang, memastikan ekosistem yang mampan dan berkembang maju,” katanya.

 

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Dato’ Idzham Mohd Hashim berkata, IIB menggariskan lima tonggak strategik dalam rangka hala tuju syarikat untuk mencapai neutral karbon di Medini Iskandar.

 

Kesemua tonggak tersebut adalah pengurusan tenaga, pengurusan air, pengurusan sisa, bahan pembangunan hijau dan mobiliti mampan.

 

“Hari ini, IIB berbangga mendahului tinggak strategik pertama iaitu komitmen kami memajukan penggunaan EV dan membuka jalan untuk penyelesaian tenaga bersih dengan menyediakan stesen pengecasan kenderaan EV.

 

“Majlis pertukaran dokumen ini bukti dedikasi kami mewujudkan bandar karbon sifar bersih di Medini dan mewujudkan bandar rendah karbon dengan standard global,” katanya.

 

Beliau berkata, IIB memanfaatkan kepakaran dan sumber untuk mempercepatkan pertumbuhan industri EV, membentuk masa depan lebih bersih dan mampan di mana kemakmuran ekonomi seiring tanggungjawab alam sekitar.

 

Usahasama berkenaan menghimpunkan pemain industri EV iaitu Nano Malaysia Bhd., Handal Indah Sdn. Bhd., Handal Green Mobility Sdn. Bhd., Kumpool Sdn. Bhd., Yinson Green Technologies (M) Sdn. Bhd. serta UN Global Compact Network Malaysia and Brunei (UNGCMYB).

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor