KERAJAAN NEGERI MAHU JOHOR BERSIH JADI BUDAYA, RUTIN


Kerajaan Negeri menyampaikan dana berjumlah RM59,000 kepada setiap Ketua Kampung dan RM16,000 bagi Ketua Masyarakat di daerah berkenaan. | Foto ihsan FB Dato’ Zahari Sarip

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor terus komited dalam menggembeling segala usaha melibatkan pelbagai lapisan masyarakat bagi menjayakan program Johor Bersih di seluruh negeri ini, termasuklah Segamat.

 

Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri menyampaikan dana berjumlah RM59,000 kepada setiap Ketua Kampung dan RM16,000 bagi Ketua Masyarakat di daerah berkenaan.

 

Menyempurnakan penyampaian dana tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip.

 

Zahari berkata, Kerajaan Negeri berharap program Johor Bersih menjadi satu budaya dan rutin bagi Bangsa Johor dalam mewujudkan persekitaran yang bersih, ceria serta lestari.

 

“Ianya bukan sahaja dapat meningkatkan kebersihan kampung, malah dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara penduduk-penduduk kampung,” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Selasa.

 

Terdahulu, beliau hadir menyempurnakan Program Profesionalisme Ketua Kampung Dan Ketua Masyarakat Daerah Segamat di Dewan Jubli Intan, Segamat.

 

Zahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap berterima kasih kepada semua 57 Ketua Kampung dan 16 Ketua Masyarkat atas khidmat bakti, pengorbanan serta kudrat dikerahkan bagi menguruskan penduduk.

 

“Moga program hari ini memberi motivasi kepada ketua kampung dan ketua masyarakat yang terlibat untuk terus berkhidmat pada masyarakat yang mereka wakili,” katanya.

 

Turut hadir, Pegawai Daerah Segamat, Mohd Masni Wakiman.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor