IKTIRAF BAKAT, KEJAYAAN PELAJAR JOHOR


Sesi penyampaian cek cura insentif program ‘Johor Stars Go Global’ kepada semua penerima yang disempurnakan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Mengiktiraf kecemerlangan pelajar Johor mengharumkan nama negeri dan negara dalam acara serta pertandingan di pentas antarabangsa, Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) menyampaikan insentif galakan program ‘Johor Stars Go Global’.

 

Sumbangan insentif berjumlah RM10,000 telah disampaikan kepada Sekolah Tun Fatimah disertai empat pelajar atas penyertaan dan kejayaan dalam International Art Festival and Competition – “Cup of Caucasus 2024” di Tbilisi, Georgia pada 20 hingga 30 April lalu.

 

Selain itu, sumbangan sebanyak RM10,000 turut disampaikan kepada Kelab Tarian Langkah Seri dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang merangkul hadiah Grand Prix dalam International Art Festival and Competition – “Cup of Caucasus 2024”.

 

Manakala, kejayaan Chuah Yee Jia, 16, meraih ‘Fourth Grand Award in Chemistry’ dalam Regeneron International Science and Engineering Fair 2024 di Los Angeles, Amerika Syarikat pada Mei lalu, menyaksikan pelajar SMK Sultan Ismail itu membawa pulang insentif berjumlah RM3,000.

 

Pemberian insentif ‘Johor Stars Go Global’ oleh YRZSNJ menjadi platform menggalakkan pelajar Johor di peringkat sekolah mahupun universiti untuk mewakili negeri dan negara seterusnya meraih kejayaan dalam pelbagai acara dan pertandingan disertai di peringkat antarabangsa.

 

Terdahulu, berlangsungnya sesi penyampaian cek cura insentif program ‘Johor Stars Go Global’ kepada semua penerima yang disempurnakan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar.

 

Turut hadir, YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor; YBhg. Mohd Hanafi Samad, Pengarah Pendidikan Negeri Johor serta YBhg. Hishamuddin bin Abdul Rahim selaku Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ.

 

Dalam Belanjawan Johor 2024, Kerajaan Negeri mengumumkan RM200,000 bagi ‘Johor Stars Go Global’ YRZSNJ yang merupakan program dalam inisiatif Galakan Kecemerlangan Akademik di bawah Strategi Pendidikan Orang Muda Johor dalam Teras Orang Muda Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor