IMEG BANTU 248 SYARIKAT, 3,200 PEKERJA SEJAK 2016


Sidang Kemuncak Sumber Manusia Iskandar Malaysia 2023 (IMHRS). | Foto ihsan IRDA

 

ISKANDAR PUTERI — Geran Pekerjaan Iskandar Malaysia (IMEG) sudah membantu 248 syarikat di Johor untuk mengekal dan menyediakan pekerjaan kepada 3,200 pekerja tempatan sejak tujuh tahun lalu.

 

Geran yang diperkenalkan pada tahun 2016 itu bertujuan meningkatkan peluang pekerjaan di negeri ini, terutama membantu syarikat mengekalkan pekerja mahupun pengambilan baharu.

 

Inisiatif berkenaan memberikan rebat kewangan terhadap gaji yang dibayar untuk manfaat peningkatan kemahiran dan latihan semula pekerja dalam syarikat.

 

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim berkata, golongan sasaran seperti penganggur, graduan, ibu tunggal dan mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19 paling banyak menerima manfaat daripada geran tersebut.

 

“Kerana mereka dapat mengekalkan pekerjaan atau diambil bekerja. Ia sangat selari dengan fokus Iskandar Malaysia untuk pemulihan ekonomi dan sosial dalam beberapa tahun ini,” katanya pada Sidang Kemuncak Sumber Manusia Iskandar Malaysia 2023 (IMHRS).

 

Pada persidangan berkenaan, IRDA turut memperkenalkan Sistem Perkhidmatan Ekspatriat Iskandar Malaysia, platform pemprosesan dalam talian komprehensif untuk syarikat memohon pas pekerjaan (EP) di Iskandar Malaysia.

 

Sistem berkenaan dipautkan dengan agensi berkaitan antaranya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan lain-lain.

 

Badrul Hisham berkata, Sistem Perkhidmatan Ekspatriat Iskandar Malaysia merupakan pencapaian signifikan terhadap komitmen pihaknya di rantau ini, dalam memudahkan pekerjaan dan bakat global.

 

“Dengan wajah mesra pengguna, sumber maklumat yang komprehensif dan ciri integrasi sistem, sistem dalam talian ini memainkan peranan penting dalam memudahkan proses, menggalakkan pematuhan dan meningkatkan pengalaman ekspatriat di Iskandar Malaysia,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor