SV PRIHATIN@JOHOR FUTURE 2023 PLATFORM KESUKARELAWANAN ANAK MUDA JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, peserta akan melakukan kerja baik pulih seperti dekorasi rumah dan pembersihan terhadap rumah terpilih menerusi program E-Kasih. | Foto Ihsan FB Hairi Md Shah.

 

ISKANDAR PUTERI — Program Southern Volunteers@Johor Future 2023 menjadi platform Orang Muda Johor (OMJ) untuk aktif dalam aktiviti kesukarelawanan di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah, berkata program yang akan bermula pada Julai hingga November ini akan melibatkan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Negeri Johor.

 

“Program ini juga bertujuan untuk memupuk kesedaran belia dan masyarakat ke arah membudayakan kesukarelaan khasnya di seluruh pelusuk Negeri Johor hingga ke peringkat akar umbi.

“Ia juga akan menjadi sebagai satu platform kepada belia seluruh Negeri Johor yang terdiri daripada pelbagai lapisan bangsa untuk bersama pemimpin setempat memainkan peranan sebagai belia Bangsa Johor,” kata beliau di Facebook rasminya, hari ini.

 

Mohd Hairi berkata, pelaksanaan program itu melibatkan kerjasama Pejabat Daerah, Southern Volunteers (SV) Daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT) , pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia, komuniti belia serta masyarakat setempat.

 

Katanya, peserta akan melakukan kerja baik pulih seperti dekorasi rumah dan pembersihan terhadap rumah yang terpilih mengikut cadangan daripada pihak pejabat daerah melalui program E-Kasih.

 

“Program ini akan melibatkan Dekorasi rumah iaitu 5 rumah bagi setiap 56 DUN yang berjumlah 280 rumah dengan penglibatan belia seluruh Negeri Johor yang dianggarkan seramai 56,000 belia dan beliawanis seluruh Negeri Johor,” katanya.

 

Jelas Hairi, ianya bagi menjunjung titah DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim supaya peranan belia diperkasakan dalam bidang kesukarelaan sekali gus melibatkan peranan belia dalam komuniti.

 

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut menzahirkan sokongan atas pelaksanaan program melibatkan belia di negeri ini.

 

Belia di Negeri Johor yang ingin terlibat dalam program Southern Volunteers@Johor Future 2023 boleh mendaftar sebagai ahli SV dan boleh berhubung dengan pegawai penyelaras SV di daerah masing-masing untuk mengetahui tarikh pelaksanaan program ini kelak.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor