INDUSTRI PENTERNAKAN RUMINAN JOHOR JADI ENJIN KETERJAMINAN MAKANAN NEGERI

Kerajaan Johor memperkukuh keterjaminan makanan melalui pembangunan industri ruminan, dengan populasi 97,313 ekor lembu melibatkan 2,403 penternak, menyumbang sekitar 16% daripada jumlah negara. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus memperkukuh agenda keterjaminan makanan melalui pembangunan industri penternakan ruminan bagi mengurangkan kebergantungan kepada produk import serta memperkukuh daya tahan ekonomi negeri.

 

Sehingga tahun 2025, Johor merekodkan populasi lembu sebanyak 97,313 ekor yang melibatkan 2,403 penternak, menjadikannya antara penyumbang terbesar populasi lembu negara dengan sekitar 16 peratus meliputi 35 penternak atau syarikat beroperasi secara komersial.

 

Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) turut melaksanakan langkah produktiviti termasuk bantuan baka lembu, perluasan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) ternakan, kawalan penyakit ternakan serta penambahbaikan infrastruktur ladang dan latihan teknikal.

 

Antara inisiatif berimpak tinggi lain yang turut dilakukan ialah pelaksanaan Program Pengganda30 di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menerusi Kerjasama Awam-Swasta (PPP) melalui geran pemadanan untuk melonjakkan industri ruminan negara.

 

Selain itu, Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) terus memainkan peranan dalam memperluas sektor penternakan komersial, sekali gus memberi impak kepada kestabilan harga dan peningkatan pendapatan penternak tempatan.

 

Projek Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) di Mersing yang beroperasi sepenuhnya sejak 2025 turut mendapat sokongan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) serta pelaburan swasta bernilai RM120 juta menjadikan hab tenusu moden pertama di Johor.

 

Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menjawab soalan mengenai usaha memperkasa penternakan lembu secara komersial pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#PenternakanRuminan
#DewanNegeriJohorKe15
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor