INOVASI AI PERKASA SEKTOR AWAM JOHOR


YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor hadir pada Majlis Penganugerahan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Negeri Johor Tahun 2024. | Foto SUK Johor.

 

#IskandarPuteri – Dalam era kecerdasan buatan (AI), sektor perkhidmatan awam Johor juga sedang melangkah ke hadapan dengan memperkenalkan pelbagai inovasi bagi meningkatkan kecekapan, produktiviti dan daya saing yang bakal memberi manfaat besar kepada rakyat dan juga kemajuan Negeri Johor.

 

Teknologi AI ini diyakini mampu mentransformasi tugas rutin penjawat awam sekali gus membolehkan mereka fokus kepada tugasan lebih strategik dan kreatif yang membantu mempercepatkan tindak balas terhadap pertanyaan pelanggan dan mampu membuat keputusan lebih tepat dalam pengurusan pentadbiran tanah, kewangan serta logistik.

 

Meskipun terdapat ancaman terhadap kehilangan pekerjaan, inovasi AI juga bagaimanapun bakal mencipta 1.4 juta peluang pekerjaan baharu dalam sektor analitik data yang menuntut penjawat awam meningkatkan kemahiran serta memahami asas mengenal pasti tugas yang boleh diautomasikan serta melatih diri dalam kemahiran baharu.

 

Dengan mengadaptasi kreativiti dan fleksibiliti, penjawat awam bukan sahaja kekal relevan tetapi bakal menjadi pemacu inovasi dalam era digital, sekali gus meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam Johor dan menjadi aset penting kepada pembangunan negeri dan negara.

 

Terdahulu, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor hadir pada Majlis Penganugerahan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Negeri Johor Tahun 2024 di Holiday Villa, Johor Bahru.

 

Hadir sama, YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan); YB Dato’ Haji Ismail Haji Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) dan YB Hajah Shubanah Yusuf, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pemantauan Projek dan Kesejahteraan Rakyat).

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor