INSENTIF ISTIMEWA MENANTI PELABUR


DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan untuk mencemar duli berangkat ke Majlis Pengumuman Pakej Insentif Cukai Zon Kewangan Khas Forest City di Forest City Marina Hotel. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ) menawarkan pelbagai insentif menarik termasuk kadar cukai korporat konsesi antara 0 hingga 5 peratus, serta kadar cukai pendapatan individu khas sebanyak 15 peratus untuk tenaga kerja tempatan dan berkemahiran di zon khas berkenaan.

 

FCSFZ juga menjadi lokasi pertama di Malaysia menyediakan cukai sifar untuk firma penasihat pengurusan kekayaan swasta dikenali Pejabat Keluarga (Family Office) melalui Skim Pejabat Keluarga Tunggal dikendalikan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dengan sasaran pengoperasian pada suku pertama tahun 2025.

 

Pelaksanaan zon khas tersebut menjadikan Forest City sebagai hab perkhidmatan kewangan global, teknologi kewangan (fintech) dan operator sistem pembayaran asing dengan kadar cukai khas sebanyak 5 peratus ditawarkan selain institusi perbankan, insurans, serta entiti sektor kewangan yang layak akan menikmati potongan khas bagi kos pemindahan serta pengecualian cukai.

 

Insentif tersebut dijangka menarik perniagaan, institusi kewangan serta individu berpendapatan tinggi, sekaligus memperkukuh kedudukan Forest City sebagai destinasi pelaburan pilihan seterusnya mencipta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, menjana pertumbuhan ekonomi dan meletakkan Johor di persada global.

 

Terdahulu, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan untuk mencemar duli berangkat ke Majlis Pengumuman Pakej Insentif Cukai Zon Kewangan Khas Forest City di Forest City Marina Hotel.

 

Hadir sama, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor; YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II dan YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor