INSENTIF JS-SEZ BAWA PELABURAN BERNILAI TINGGI KE JOHOR


 Kementerian Kewangan dan Kerajaan Johor telah mengumumkan pakej insentif cukai baharu di bawah inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berkuat kuasa 1 Januari lalu. | Foto Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kewangan dan Kerajaan Johor telah mengumumkan pakej insentif cukai baharu di bawah inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berkuat kuasa 1 Januari 2025 yang bertujuan untuk menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi ke negeri ini.

 

Pakej insentif berkenaan yang merangkumi kadar cukai istimewa itu juga menjadi ikhtiar bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing negara dengan mengambil kira keperluan dinamik bagi pelabur global dan domestik.

 

Antara insentif cukai disediakan kepada pelabur di JS-SEZ termasuklah kadar cukai korporat istimewa yang akan membolehkan pelabur dalam sektor kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum, peralatan perubatan, aeroangkasa serta perkhidmatan hab global menikmati kadar cukai lima peratus bagi tempoh sehingga 15 tahun.

 

Selain itu, insentif tambahan juga turut diperuntukkan kepada syarikat perniagaan yang beroperasi di kawasan utama yang telah ditentukan di dalam kawasan JS-SEZ, ditambah dengan kadar cukai istimewa 15 peratus bagi tempoh 10 tahun untuk pekerja berpengetahuan yang layak.

 

Pakej insentif JS-SEZ diumumkan itu disifatkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor akan mampu memberikan rangsangan untuk meningkatkan kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan global, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai pusat perdagangan dan maritim utama di rantau ini.

 

Sementara itu, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II pula menyifatkan langkah berkenaan akan dapat mempercepatkan kemasukan pelaburan berkualiti dalam sektor-sektor utama dan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi dengan memanfaatkan sinergi antara Johor dan Singapura.

 

Menerusi Belanjawan Johor 2025, Kerajaan Negeri turut bersetuju menetapkan kadar duti hiburan kepada lima peratus bermula 1 Januari tahun ini bagi menggalakkan pelaburan taman tema di Johor selain menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.

 

#ZonEkonomiKhasJohorSingapura
#JSSEZ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor