INSENTIF KHAS MENANTI PEMENANG EMAS SUKMA


YB Mohd Hairi Md Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor memaklumkan tawaran insentif kepada atlet yang berjaya meraih pingat emas dalam SUKMA Sarawak 2024. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Kerajaan Negeri menawarkan insentif berjumlah RM10,000 kepada atlet acara perseorangan dan RM20,000 bagi acara berpasukan yang berjaya meraih pingat emas dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.

 

Insentif tersebut diumumkan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor ketika berucap pada Program SUKMA 2024: The Next Chapter di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Larkin, semalam.

 

Manakala, jurulatih yang berjaya membantu atlet masing-masing menuai pingat emas pula, turut menerima insentif berjumlah RM5,000 sebagai menghargai komitmen diberikan.

 

YB Mohd Hairi Md Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor berharap pengumuman tersebut menjadi suntikan motivasi kepada atlet untuk kekal fokus dalam misi mempertahankan kejuaraan.

 

Atlet yang berjaya menyumbang pingat perak dan gangsa juga bakal menerima insentif daripada Kerajaan Negeri dengan nilai yang akan dimaklumkan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ).

 

Untuk rekod, Johor buat pertama kalinya muncul juara keseluruhan temasya sukan dwi-tahunan itu selepas merangkul 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa ketika SUKMA XX MSN 2022.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor