JAINJ SEDIA BANTU PENDAFTARAN SEKOLAH AGAMA SWASTA


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid menyatakan terdapat 226 sekolah agama swasta masih belum diluluskan penubuhannya. | Foto ihsan MedKom

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) melalui Bahagian Pendidikan Islam mengesan 266 sekolah agama swasta di negeri ini, masih belum berdaftar dan diluluskan penubuhannya.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, sekolah agama swasta terbabit terdiri 31 sekolah tahfiz, 12 sekolah pondok, 10 sekolah rendah Islam dan 213 prasekolah.

 

“Sebagai maklumat tambahan JAINJ kini giat berusaha untuk memberi pendedahan tentang kewajiban mendaftar kepada institusi pendidikan peringkat prasekolah,” katanya pada Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri Penggaram, Gan Peck Cheng mengenai jumlah sekolah agama swasta tidak berdaftar selain hasrat melaksanakan pemutihan dan membantu menyempurnakan proses pendaftaran.

 

Mohd Fared berkata, sehingga Julai lalu, sebanyak 215 sekolah agama swasta telah sempurna pendaftarannya dengan merekodkan lebih 7,000 pelajar berusia anatra 10 hingga 30 tahun.

 

Katanya, setakat ini, 37 sekolah agama swasta merangkumi sekolah tahfiz, sekolah pondok, sekolah menengah Islam dan sekolah rendah Islam sedang dalam proses mendapatkan pendaftaran penuh.

 

“Bagi sekolah-sekolah tahfiz yang ingin berdaftar dalam Negeri Johor, sekolah tersebut perlu melalui beberapa proses kelulusan mengikut Kaedah-Kaedah Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1981.

 

“Terdapat 15 proses atau dokumen wajib yang perlu disediakan dan antaranya ialah status hak milik tanah, perakuan dari Jabatan Kesihatan, perakuan dari Jabatan Bomba dan perakuan PDRM.

 

“Selain itu, surat kebenaran mengajar guru-guru yang dikeluarkan dari Bahagian Undang-Undang Syariah merupakan salah satu dokumen wajib yang perlu disediakan bagi memastikan guru-guru yang mengajar di sekolah tahfiz mempunyai tauliah,” katanya.

 

Selain itu, katanya, JAINJ melalui Bahagian Pendidikan Islam akan terus memantau dan menerangkan keperluan pendaftaran kepada sekolah-sekolah agama swasta selain bersedia membantu mendapatkan kelulusan daripada pelbagai pihak.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor