MEGA GERAK KERJAYA MYFUTURE JOHOR 2023 TERIMA SAMBUTAN LUAR BIASA


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah ketika menjawab soalan lisan mengenai pencapaian Mega Gerak Kerjaya MYFuture Jobs 2023. | Foto ihsan MedKom

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak 2,034 peluang pekerjaan dibuka dengan tawaran gaji sehingga RM14,000 dalam penganjuran Mega Gerak Kerjaya MyFutureJobs 2023 anjuran Kerajaan Negeri menerusi Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI), pada 15 dan 16 Julai lalu.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, berdasarkan rekod awal, jumlah permohonan pekerjaan yang diterima adalah sebanyak 5,727 dan 3,764 pemohon ditemuduga.

 

“Jumlah ini sangat memberangsangkan dan melebihi jangkaan. Pihak SMI berterima kasih kepada rakan strategik iaitu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Johor Petroleum Development Corporation (JPDC) Berhad atas kerjasama yang baik dalam menjayakan program ini,” katanya pada Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri Tangkak, Ee Chin Li mengenai pencapaian Mega Gerak Kerjaya MYFuture Jobs 2023.

 

Mohd Hairi berkata, daripada jumlah jawatan kosong ditawarkan, seramai 220 pencari kerja diterima bekerja dengan majikan terdiri daripada pelbagai sektor seperti minyak dan gas, perkhidmatan, pendidikan, pembuatan, pembinaan, perhotelan, perladangan dan pertanian.

 

“Sejumlah 1,889 pencari kerja menerima tawaran panggilan temuduga kali kedua. Program yang berlangsung selama dua hari ini telah dikunjungi 5,126 pengunjung dan orang awam sekitar Negeri Johor dan negeri-negeri lain.

 

“Penyertaan daripada 33 majikan yang merupakan industri utama memebrikan peluang pekerjaan kepada pencari kerja khususnya, telah memberikan kerjasama yang baik seterusnya menjayakan program kerjaya ini,” katanya.

 

Beliau berkata, SMI terus komited dalam memastikan kadar pengangguran di negeri ini, menurun di samping meningkatkan pendapatan rakyat dengan menganjurkan siri Program Gerak Kerjaya Johor hingga Julai lalu.

 

“Program dengan kerjasama PERKESO ini menjadi platform setempat kepada orang ramai mendapatkan informasi dan membantu dalam pencarian pekerjaan dalam pelbagai sektor.

 

“Sekali gus (program) membantu majikan mendapatkan tenaga kerja dengan lebih mudah. Hal ini dapat mengurangkan kadar pengangguran dalam Negeri Johor,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor