JAKOA PASTIKAN BEKALAN SAMPAI TERUTAMA KAWASAN TERPUTUS HUBUNGAN


Kerajaan menerusi JAKOA dengan kerjasama pelbagai pihak sentiasa pastikan bekalan makanan dan keperluan terutama di perkampungan masyarakat Orang Asli terutama kawasan terputus hubungan sampai kepada penerima | Sumber gambar Facebook Dato’ Zahari Sarip.

 

ISKANDAR PUTERI — Usaha menyampaikan bekalan makanan dan keperluan di perkampungan masyarakat Orang Asli terutama kawasan terputus hubungan telah dilaksanakan sejak mula bencana banjir.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip berkata, daripada kira-kira 49,000 mangsa banjir, lebih 5,000 merupakan masyarakat Orang Asli di beberapa daerah.

 

Menurutnya, kesemua mangsa dari kalangan masyarakat Orang Asli dari Kluang, Mersing, Muar, Tangkak, Batu Pahat dan Segamat.

 

“Segamat mencatatkan jumlah teramai masyarakat Orang Asli yang terjejas iaitu 2,170 orang. Setakat semalam, jumlah keseluruhan Kampung Orang Asli (KOA) yang terjejas di Negeri Johor adalah sebanyak 45 buah KOA, dan 25 buah KOA daripadanya dilaporkan telah terputus hubungan.

 

“Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Johor bersama Jabatan dan Agensi lain sejak hari pertama bencana banjir ini melanda, telah turun menyampaikan bantuan bekalan makanan serta keperluan harian yang lain,” kata beliau.

 

Selain itu, Zahari berkata, proses penghantaran bakul makanan ke KOA Punan dan KOA Peta yang telah terputus hubungan telah dilakukan oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan menggunakan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

 

Selain itu, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pengarah JAKOA Negeri Johor, Faisal Long dan pegawai jabatan tersebut di peringkat negeri dan daerah kerana mengatur dan menggerakkan bantuan segera kepada masyarakat Orang Asli yang terjejas banjir.

 

“Semoga kita semua tetap kekal dan redha dalam menghadapi ujian ini. InsyaAllah kita akan melepasi tempoh yang serba mencabar ini,” kata beliau.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor