MORATORIUM UNTUK MANGSA BANJIR JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempertimbangkan rayuan pemberian moratorium kepada mangsa banjir di Johor / Gambar Media Digital Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan pemberian moratorium sekurangnya tiga hingga enam bulan kepada mangsa Johor.

Onn Hafiz membuat permohonan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan supaya inisiatif itu akan dapat memberi sedikit kelegaan kepada mangsa yang terjejas banjir di Johor.

“Umum mengetahui, untuk tahun ini sahaja ramai rakyat Johor yang terpaksa melalui ujian banjir yang amat mencabar bukan hanya sekali, tetapi dua kali.

“Bencana sebegini sudah tentu memberikan impak kewangan yang cukup besar kepada mereka. Ada yang kerosakan harta benda seperti kereta, perabot, alatan elektrik dan sebagainya. Ada juga yang mengalami kerugian hasil tanaman dan binatang ternakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya.

Justeru, beliau yang mewakili rakyat Johor khususnya terjejas dengan banjir berharap Perdan Menteri akan dapat mempertimbangkan permohonan berkenaan.

“Maka bagi pihak mereka, saya dengan rasa rendah diri ingin memohon dan merayu agar YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dapat mempertimbangkan moratorium sekurang-kurangnya 3 hingga 6 bulan bagi mangsa-mangsa banjir yang terjejas.

“Besar harapan Kerajaan Negeri agar mangsa-mangsa banjir ini boleh diberikan sedikit kelegaan dari segi moratorium dalam tempoh yang saya sebutkan,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor