RTB SUNGAI BATU PAHAT PENTING KEPADA MANGSA BANJIR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi diberikan taklimat oleh Pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Batu Pahat di PPS SK Sri Medan | Sumber gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Proses tender Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Batu Pahat berjumlah RM45 juta akan dimulakan pada Mei ini.

 

Perkara itu dikongsi oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas dimaklumkan kepadanya menerusi taklimat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Batu Pahat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Medan, semalam.

 

Beliau memberitahu RTB Sungai Batu Pahat dijangka siap dalam tempoh empat tahun, sekiranya tiada perkara yang menjadi halangan.

 

“Seperti yang kerajaan negeri sebut sebelum ini, RTB Sungai Batu Pahat ini dapat memberi manfaat kepada sekitar 35,000 penduduk di kawasan lembangan sungai, yang saban tahun menjadi mangsa banjir,” kata beliau.

 

Sementara itu, Menteri Besar Johor juga berkongsi keadaan agak buruk sehingga memaksa sebahagian PPS di kawasan Sri Medan terpaksa ditutup berikutan dinaiki air, mengakibatkan mangsa terpaksa dipindahkan di PPS di DUN Semerah.

 

“Terima kasih (ADUN Sri Medan) Dato’ Zulkurnain (Kamisan) dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Negeri Johor merangkap ADUN Semerah, Mohd Fared Mohd Khalid atas kerjasama erat yang ditunjukkan bagi memastikan kebajikan mangsa-mangsa banjir terus terjaga,” kata beliau lagi.

 

Sebelum itu, Onn Hafiz juga telah mengadakan kunjungan ke PPS SK Spang Loi, dekat Buloh Kasap selepas mengiringi Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mengadakan lawatan ke Segamat.

 

Beliau turut berkongsi mengenai tender untuk menaiktaraf ban di Kampung Spang Loi bernilai RM5 juta akan dimulakan pada April ini, seperti dimaklumkan kepadanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor