‘JAMBATAN SERVIS’ DIRUNTUHKAN DEMI KESELAMATAN PENDUDUK


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh ketika melihat struktur jambatan yang runtuh. | Foto MDJ Wira Anggara

Struktur binaan ‘jambatan servis’ di Kampung Perigi Acheh, Pasir Gudang akan diruntuhkan sebelum akhir Oktober ini, susulan kejadian mendapan tanah yang berlaku pada Ogos lalu, sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk kampung berkenaan akan keselamatan masing-masing.

 

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh memberitahu tindakan tersebut dilakukan demi menjaga keselamatan penduduk setempat yang menggunakan laluan itu.

 

“Saya tadi sudah berjumpa dengan pihak kontraktor, pejabat daerah serta JKR Negeri Johor dan kita telah membuat satu keputusan untuk meruntuhkan terus struktur jambatan servis ini untuk keselamatan penduduk di sini.

 

“Satu sebabnya ia bersebelahan dengan kawasan kedai makan dan juga kawasan nelayan. Bukan itu sahaja, kita juga takut sekiranya runtuhan itu menghala kepada struktur asas bangunan jambatan sedia ada yang mana akan mengganggu keselamatan struktur itu sendiri,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke tapak projek, hari ini.

 

Terdahulu, beliau mengadakan perbincangan bersama Pegawai Daerah Johor Bahru, Muzaldin Mohamed; Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Tiram, Azizul Bachok serta wakil jabatan dan agensi termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor.

 

Meskipun terdapat jambatan sementara untuk kegunaan penduduk setempat, Mohamad Fazli enggan infrastruktur berkenaan terus digunakan dalam tempoh lebih lama, sebaliknya mahu projek bina jambatan baharu disiapkan pada kadar segera.

 

“Kita ada memasang jambatan sementara dan selalunya jambatan ini untuk digunakan dalam tempoh yang sementara. Sebab itu saya cakap, kita perlu cepat. Kalau sementara, kita tidak mahu penduduk menggunakan jambatan ini sehingga lima ke enam tahun.

 

“Projek ini bermula pada tahun 2019 dan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita terpaksa menunda pembinaan jambatan ini. Oleh sebab itu, saya meminta agar pihak JKR untuk menyusun atur semula gerak kerja dan memastikan jambatan ini siap pada waktu yang ditetapkan (Disember 2024),” tambah beliau yang turut menyatakan punca keruntuhan jambatan tersebut masih dalam siasatan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor