KERJASAMA ERAT TANGANI KESESAKAN DI TAMBAK JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyatakan hasrat Kerajaan Negeri yang sangat mengalu-alukan empat inisiatif baharu dalam menangani isu kesesakan pintu sempadan negara. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kerajaan Negeri menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas kerjasama erat bagi bersama menangani isu kesesakan pintu sempadan negara iaitu Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) demi melancarkan pergerakan dua hala melibatkan Johor-Singapura.

 

Penghargaan tersebut diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof bersama pelbagai kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan susulan komitmen bersama untuk mencari mekanisme terbaik menyelesaikan isu kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

 

“Kerana angka penggunaan kedua-dua pintu masuk ini dilihat semakin meningkat dan kita jangka angka ini akan terus naik terutamanya selepas pengumuman Perdana Menteri melibatkan pelaksanaan Zon Kewangan Khas (SFZ) dan Zon Ekonomi Khas (SEZ),” kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada sidang media di CIQ BSI, Johor Bahru, hari ini.

 

Terdahulu, berlangsungnya mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor dipengerusikan secara maya oleh Fadillah yang turut disertai oleh Menteri Besar, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

 

Mesyuarat tersebut telah bersetuju untuk melaksanakan empat inisiatif baharu merangkumi tiga projek fizikal bernilai RM168.7 juta dan pemberian insentif pintu masuk kepada pegawai imigresen pelbagai gred bertugas di pintu masuk melibatkan peruntukan RM7.9 juta setahun.

 

“Kerajaan Negeri sangat mengalu-alukan inisiatif ini terutamanya melibatkan pegawai imigresen kerana mereka bekerja siang dan malam untuk memastikan segala pengoperasian di kedua-dua pintu masuk negeri ini berjalan dengan baik dan lancar,” ujar Menteri Besar.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor