JANGAN BUANG SISA SERBUK KOPI DAN TEH ANDA !
ISKANDAR PUTERI — Kopi dan teh adalah minuman kegemaran utama rakyat di negara ini, namun ia juga menjadi antara sisa buangan pepejal yang sering ditemui di tong sampah di negara ini.
Namun tahukah anda, serbuk kopi kisar dan teh yang sudah digunakan oleh kebanyakan daripada diri kita sebenarnya sangat bagus untuk tujuan penyuburan tanah kebun tanaman.
Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dalam laman facebook rasminya menjelaskan ini kerana tidak semua tanah yang digunakan mempunyai nutrien yang secukupnya untuk tanaman.
Semakin tanaman membesar, tumbuhan berkenaan juga akan menyerap nutrien yang terdapat di dalam tanah hingga menyebabkan ia menjadi tidak lagi subur.
Justeru, ia akan menyebabkan kebun tanaman memerlukan penggunaan baja untuk menjadikannya terus subur dan lebih penting sisa kopi kisar dan serbuk teh ini boleh dijadikan sebagai baja yang menjimatkan.
Kajian saintifik mendapati sisa kopi ini mempunyai beberapa mineral penting bagi pertumbuhan pokok seperti nitrogen, kalsium, kalium, zat besi, fosforus, magnesium dan kromium.
Dapatan kajian jua mendapati ia mampu menyerap logam berat dalam tanah yang boleh membahayakan tanaman, selain ia juga digemari oleh cacing tanah yang bagus untuk tujuan pengemburan dan penyuburan tanah secara semulajadi.
Penggunaan sisa sebuk kopi sebagai baja ini juga amat mudah kerana bahan buangan terbabit hanya perlu ditaburkan di sekeliling kawasan tanah yang ingin disuburkan.
Justeru, orang ramai khususnya penggemar minuman kopi dan teh ini jangan buang sisa pepejal berkenaan, tapi gunakannya sebagai baja organik untuk tanaman anda.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor