JBPM NEGERI JOHOR DISARAN TINGKAT ASPEK KESELAMATAN KEBAKARAN


YAS Dato’ Ts. Nor Hisham Mohamad bersama sebahagian anggota bomba pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 JBPM Negeri Johor. | Foto Ihsan Jabatan Bomba & Penyelamat

 

Mendepani cabaran perkembangan pembangunan pesat berlaku di negeri ini, menuntut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor melakukan persediaan rapi melibatkan aspek pemadaman kebakaran dan penyelamatan penguatkuasaan berkaitan keselamatan kebakaran.

 

Penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City, pembangunan residensi elit, pusat beli belah dan pusat perniagaan serta industri antarabangsa selain kerancakan industri minyak dan gas di Pengerang memberikan cabaran baharu penguatkuasaan keselamatan kebakaran.

 

Justeru, warga JBPM Negeri Johor diseru merangka strategi awal dan berada dalam kesiapsiagaan yang tinggi bagi menghadapi segala kemungkinan dari segi aspek kebombaan dan penyelamatan meliputi penguatkuasaan keselamatan kebakaran dan pemadaman api minyak.

 

Bagi meningkatkan kecekapan perlindungan kebakaran dan mengurangkan ‘response time’ negeri, dua projek infrastruktur kebombaan melibatkan bina baharu dan naik taraf sedang dilaksanakan masing-masing di Johor Bahru Sentral serta Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin.

 

Selain itu, beberapa projek sambungan seperti pembinaan BBP Bandar Tenggara dan naik taraf BBP Kluang pula akan diteruskan. Untuk rekod, terdapat 34 buah balai bomba dan penyelamat yang beroperasi di negeri ini.

 

Terdahulu, saranan tersebut dibuat YAS Dato’ Ts. Nor Hisham Mohamad, Ketua Pengarah JBPM ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 JBPM Negeri Johor. Turut hadir, YS PKPjB Siti Rohani Nadir, Pengarah JBPM Negeri Johor serta PgKB 1 Mohamad Faizul Selamat, Pemangku Timbalan Pengarah JBPM Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor