PEMAIN INDUSTRI PELANCONGAN SEDIA JAYAKAN TAHUN MELAWAT JOHOR 2026


Jeti Tanjung Balau, Kota Tinggi. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Langkah proaktif Kerajaan Negeri menganjurkan Bengkel Pemerkasaan Pelancongan Negeri Johor disambut baik pemain dan penggerak industri yang turut menyatakan kesediaan untuk tidak ketinggalan bersama menjayakan pelaksanaan Tahun Melawat Johor 2026.

 

Bagi Ivan Teoh, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Johor menyifatkan bengkel selama dua hari itu menjadi platform perkongsian idea bernas dan mewujudkan komunikasi dua hala antara pihak kerajaan dan pemain industri bagi memperkasakan industri pelancongan.

 

Bengkel tersebut turut memberi ruang kepada sektor perhotelan menjalin kerjasama dengan pemain industri lain seperti penerbangan, pengangkutan dan pemandu pelancong untuk memastikan penyediaan akses kepada lokasi penginapan adalah bersepadu dan memudahkan pelancong.

 

Sementara itu, Ajmal Ahmad Shahrom, Penolong Setiausaha Persatuan Pemandu Pelancong Bandar Dan Alam Semulajadi Johor memuji usaha Kerajaan Negeri mendapatkan pandangan daripada pemain dan penggerak industri bagi memantapkan pembangunan produk serta infrastruktur pelancongan di Negeri Johor.

 

Turut dicadangkan penganjuran kelas khusus kepada pemandu pelancong dan penduduk setempat untuk meningkatkan pengetahuan berkaitan sejarah dan warisan di negeri ini, yang secara tidak langsung dapat melahirkan lebih ramai pemandu pelancong berpengetahuan dan kompeten.

 

Untuk rekod, pelbagai usaha sedang giat dilaksanakan Kerajaan Negeri bermula pada tahun ini, bagi memacu dan memperkasa industri pelancongan sempena Tahun Melawat Johor 2026 yang mensasarkan kehadiran 12 juta pelancong dari dalam mahupun luar negara.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor