YAYASAN JCORP BERI SINAR SYAWAL BUAT MANGSA BANJIR JOHOR


Yayasan JCorp bersama sukarelawan Southern Volunteers menyantuni mangsa banjir di Batu Pahat dengan menyerahkan sumbangan RM200 kepada 30 buah keluarga di Kampung Parit Yob, Mukim 6, Parit Yaani, Batu Pahat.

 

BATU PAHAT — Johor Corporation (JCorp) menerusi Yayasan JCorp dengan kerjasama Southern Volunteers (SV) telah menyumbang sebanyak RM106,000 kepada mangsa banjir yang terjejas di Johor baru-baru ini.

 

Pengerusi Yayasan JCorp, Rozaini Mohd Sani, berkata inisiatif kempen Sinar Syawal Mangsa Banjir Johor yang dilancarkan pada penghujung Mac lalu merupakan platform bagi mengumpul dana untuk membantu mangsa yang terkesan dengan banjir.

 

“Kempen ini juga menerima sokongan daripada syarikat dalam Kumpulan JCorp iaitu Kulim (Malaysia) Berhad, KPJ Healthcare Berhad, QSR Brands (M) Holdings Bhd dan JLG Group Sdn Bhd selain turut menerima sumbangan orang ramai menerusi tabung berkenaan.

 

“Pengumpulan dana menerusi kempen ini terus berlangsung sehingga pertengahan Syawal dan setiap sumbangan yang disalurkan akan diserahkan secara berperingkat kepada mangsa yang terlibat bagi memberi keceriaan untuk mereka menyambut Aidilfitri kelak,” katanya.

 

Terdahulu, Yayasan JCorp bersama sukarelawan SV menyantuni mangsa banjir di Batu Pahat dengan menyerahkan sumbangan RM200 kepada 30 keluarga di Kampung Parit Yob, Mukim 6, Parit Yaani di sini, semalam.

 

Yayasan JCorp juga menyerahkan sebanyak 1,000 unit selimut dan wang tunai kepada SV untuk disalurkan kepada mangsa banjir di daerah Segamat dan Batu Pahat.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor