KKM PERUNTUK RM450,000 UNTUK NAIK TARAF KK TONGKANG PECAH


Sejumlah RM450,000 diperuntukkan KKM kepada Klinik Kesihatan (KK) Tongkang Pechah, Batu Pahat bagi menaik taraf KK tersebut. | Foto Ihsan: Facebook Ah Soon.

 

ISKANDAR PUTERI — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperuntukkan RM450,000 bagi urusan naik taraf Klinik Kesihatan (KK) Tongkang Pechah, Batu Pahat.

 

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon ketika lawatannya ke KK tersebut, semalam.

 

“Tujuan lawatan hari ini (semalam) adalah bagi mengumumkan bahawa KKM telah memperuntukkan sejumlah RM450,000 bagi menaik taraf KK Tongkang Pechah.

 

“Projek ini termasuk menaik taraf pagar, tempat letak kereta, landskap, makmal, tandas, memasang penghawa dingin di bahagian ibu dan kanak-kanak, mengecat bangunan serta penggantian pendawaian elektrik,” katanya.

 

Terdahulu, Tian Soon mendapati fasiliti rawatan dan bangunan KK berkenaan didapati telah pun usang ketika tinjauannya ke fasiliti kesihatan berkenaan iaitu pada sekitar Mac lalu.

 

“Ini merupakan kali kedua saya ke sini. Pada tiga bulan yang lalu saya telah ke KK ini dan mendapati fasiliti di sini telah usang dan begitu juga dengan struktur bangunan klinik juga sudah lama.

 

“Saya telah menerima beberapa makluman dari orang awam dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri berkenaan keadaan klinik itu,” tulisnya di Facebook rasminya, hari ini.

 

Menurut Tian Soon, KK Tongkang Pechah yang telah beroperasi sejak 1988 itu mengalami peningkatan perkhidmatan berikutan pertambahan populasi daripada 20,000 hingga 80,000 penduduk.

 

“KK ini setiap hari menerima lebih kurang 250 orang pesakit sehari yang memerlukan pemeriksaan kesihatan termasuk di bahagian klinik ibu dan anak.

 

“Terima kasih Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat (PKDBP) yang telah membuat permohonan peruntukan kepada KKM,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor