JDT TUMBANG DI PENTAS BOLA SEPAK TERTINGGI ASIA


Aksi pemain JDT ketika perlawanan ke-5 Liga Juara-Juara AFC (ACL) menentang Kawasaki Frontale di Stadium Todoroki Athletics, Jepun.

 

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa akur apabila tewas 0-5 kepada Kawasaki Frontale dari Jepun untuk aksi kelima Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2023.

Kekalahan tersebut menyebabkan laluan JDT ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC (ACL) agak berliku apabila skuad Harimau Selatan kekal berada di tangga ketiga Kumpulan I dengan enam mata melalui lima perlawanan dan defisit lima perbezaan jaringan gol.

Juara Korea Selatan, Ulsan Hyundai kekal di tangga kedua kumpulan I dengan sembilan mata selepas menewaskan wakil Thailand, BG Pathum 3-1, semalam. Ia bermakna Ulsan Hyundai berkemungkinan mempunyai peluang lebih besar untuk layak ke peringkat seterusnya atas tiket tiga pasukan tempat kedua terbaik dalam kejohanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim ini.

Memetik semula kata-kata pemilik JDT di dalam program Podcast ‘Keluar Sekejap’ sebelum ini, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim sedar bahawa JDT masih berada di peringkat permulaan untuk bersaing dengan semua kelab bola sepak yang bertanding di peringkat tertinggi ini.

Baginda juga berpendapat bahawa JDT sekarang berada pada tahap yang terbaik di Asia Tenggara tetapi masih belum mampu menyaingi kelab-kelab lain di peringkat benua yang telah memulakan projek pembangunan bola sepak masing-masing sejak berbelas tahun mahu pun berpuluh tahun sebelum ini.

“Ideanya adalah untuk pasukan JDT berada di kejohanan tertinggi bola sepak Asia ini setiap tahun. Kita akan cuba bersaing sebaik mungkin,” titah DYAM Tunku Ismail.

 

#SukanMDJ #MediaDigitalJohor #SahihTepatPantas #MajuJohor