JOHOR PERINTIS PELAN TINDAKAN PENDIDIKAN KELESTARIAN DI MALAYSIA


Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Suria muncul juara keseluruhan pertandingan Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC) bagi peringkat Negeri Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Oleh Suhana Mohd Ariffin

 

Acara tahunan Karnival Iskandar Puteri Rendah Karbon (IPRK) kali ini berlangsung dengan tema ‘Pendidikan Dalam Mendepani Perubahan Iklim’ bagi meraikan inisiatif kelestarian dalam usaha menangani krisis perubahan iklim bukan sahaja di kawasan Iskandar Puteri tetapi juga bagi Negeri Johor secara keseluruhan.

 

Program yang diadakan di Kompleks Sukan Educity ini dijadikan sebagai ‘platform’ pendidikan kelestarian kepada agensi awam, pemain industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam mendepani perubahan iklim dan seterusnya melahirkan generasi karbon rendah menerusi penglibatan guru, pelajar dan sekolah di seluruh Negeri Johor.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh, memberitahu pendidikan kelestarian merupakan salah satu inisiatif Pendidikan Holistik 2.0 yang dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor. Ia diyakini mampu membantu mengembangkan potensi pelajar dan guru supaya lebih cakna dalam memahami konsep ke arah masyarakat rendah karbon.

 

Sementara itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Suria muncul juara keseluruhan pertandingan Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC) bagi peringkat Negeri Johor. Lebih memberangsangkan, sekolah berkenaan juga turut memenangi dua kategori iaitu Sekolah Terbaik IMELC serta kutipan minyak masak terpakai terbanyak iaitu 3,579.85 kilogram yang bernilai RM11,853.71.

 

Turut hadir pada karnival berkenaan ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Dato’ Mohd Haffiz Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA), Dato’ Dr Badrul Hisham Kassim dan Timbalan Pengarah Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Mohd Hanafi Samad.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor