JEMAAH HAJI RKJ SELAMAT BERLEPAS KE TANAH SUCI


Jemaah haji dari kumpulan pertama Rombongan Kerajaan Johor (RKJ) selamat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). | Foto Majlis Perbandaran Kulai

 

Seramai 283 jemaah haji dari kumpulan pertama Rombongan Kerajaan Johor (RKJ) selamat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum melanjutkan penerbangan terus ke Makkah, Arab Saudi bagi melaksanakan Rukun Islam ke lima itu.

 

Terdahulu, YB Tan Sri Dato’ Dr Haji Azmi Rohani turut meluangkan masa bermesra dan menyantuni kumpulan pertama ‘duyufurrahaman’ RKJ terbabit di terminal khas haji di LTAS.

 

Turut hadir menyantuni jemaah haji berkenaan ialah YB Haji Mohd Fared bin Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor; YB Dato’ Haji Ismail bin Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) dan YBhg. Haji Jamaluddin bin A. Hamid, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

 

RKJ hari ini melibatkan dua penerbangan yang akan berlepas dari LTAS sebelum menuju ke Makkah. Kumpulan RKJ yang seterusnya dijadualkan akan berlepas pada 20 dan 22 Mei ini yang akan melibatkan seramai 216 jemaah.

 

Sebelum ini, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Johor bersama Lembaga Tabung Haji (TH) bagi memastikan semua jemaah RKJ dapat melakukan persiapan dengan sewajarnya sebelum berangkat ke tanah suci. Kerajaan Johor juga turut menyediakan insentif khas dengan menampung kos tambang penerbangan pergi dan balik kepada jemaah RKJ.

 

Inisiatif Kerajaan Negeri ini sekali gus dapat membantu dan memudahkan urusan rombongan berkenaan menunaikan salah satu kewajipan Rukun Islam dan pada masa sama ia dilihat sebagai komitmen kerajaan dalam memastikan mereka ini tidak terlepas peluang untuk menyahut panggilan haji bagi tahun 1445H/2024M.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor