JES INTERVENSI KONFLIK GAJAH-MANUSIA
Kewujudan Pusat Santuari Gajah Johor (JES) mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Johor menangani konflik antara mamalia berkenaan dengan manusia.
Kerajaan Negeri turut meluluskan peruntukan sebanyak RM9 juta bagi projek mendirikan pagar di sekeliling kawasan Kampung Panti untuk mengelak gajah daripada memasuki kampung terbabit sekali gus menjamin keselamatan awam.
Selain itu, JES yang berkeluasan 72 hektar dan berada di kawasan tebing Hutan Simpan Gunung Panti juga berfungsi sebagai salah satu tempat penyelidikan dan penyelamatan bagi habitat gajah liar yang berkeliaran di kawasan tersebut.
PERHILITAN Negeri Johor turut mengaktifkan semula tabung amanah gajah bagi membiayai Pembangunan Food Bank Gajah bagi menarik perhatian gajah-gajah yang berkeliaran di kawasan Panti di Kota Tinggi untuk mendapatkan bekalan makanan.
Untuk rekod, sebanyak 64 aduan konflik antara gajah dengan manusia telah diterima di seluruh Johor pada tahun ini di mana Kluang, Kota Tinggi dan Mersing menjadi antara daerah yang paling terjejas.
Terdahulu, YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor mengadakan lawatan di Pusat Santuari Gajah hari ini. Hadir sama, YBhg. Aminuddin Jamin, Pengarah PERHILITAN Negeri Johor.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor