JETCO BAWA PEMAIN INDUSTRI SINGAPURA ‘RONDA’ BANDAR RAYA JOHOR BAHRU


JETCO Singapura berkesempatan menikmati keindahan kawasan eko-pelancongan di Kampung Sungai Melayu. | Foto JETCO

 

Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura menganjurkan ‘Familiarization (Fam) Trip’ sebagai usaha berterusan bagi mengukuhkan platform kerjasama dua hala dengan pihak berkepentingan dalam sektor pelancongan antara Johor dan Singapura, pada 7 dan 8 Mac lalu.

 

Program dengan kerjasama Pejabat Tourism Malaysia di Singapura, Tourism Johor dan agensi berkaitan itu telah disertai pemain industri dari Singapura yang dibawa melawat ke destinasi menarik sekitar bandar raya Johor Bahru iaitu Yayasan Warisan Johor, The Johor Collection, Muzium DiRaja Sultan Abu Bakar, Kampung Sungai Melayu dan Stadium Sultan Ibrahim.

 

Selain menjadi platform mempromosikan Negeri Johor sebagai destinasi pelancongan utama, Fam Trip yang berlangsung dua hari satu malam itu turut bertujuan menarik kehadiran lebih ramai pelawat terutama dari negara jiran, Singapura menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

 

Pada masa sama, pemain industri pelancongan Johor dan Singapura juga berpeluang untuk bertukar pandangan dan berkongsi idea mengenai perkembangan terkini produk pelancongan Johor menerusi sesi ‘hi-tea and networking’ yang diadakan sempena Fam Trip berkenaan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor