JOHOR BENTANG BELANJAWAN SURPLUS RM5.12 JUTA
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor hari ini membentangkan Belanjawan Johor 2025 yang merupakan belanjawan lebihan RM5.12 juta pada Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
Belanjawan bertemakan ‘Maju Johor, Rakyat Sejahtera’ dibentangkan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar itu telah mencatatkan ‘surplus’ untuk tiga tahun berturut-turut, meningkat daripada RM4.21 juta lebihan diunjurkan berbanding tahun lalu.
Pada tahun hadapan, unjuran hasil negeri ini adalah RM2.005 bilion iaitu peningkatan 11 peratus atau RM201 juta berbanding tahun 2024 diikuti unjuran perbelanjaan berjumlah RM1.999 bilion dengan Belanja Mengurus sebanyak RM1.271 bilion dan RM728 juta Belanja Pembangunan.
Berdasarkan unjuran hasil berkenaan, sebanyak RM895.15 juta disumbangkan melalui hasil cukai sementara RM871.56 juta hasil bukan cukai dan sejumlah RM238.3 juta dianggarkan diperoleh daripada terimaan bukan hasil.
Selain itu, prestasi ekonomi Johor turut berkembang sebanyak 4.1 peratus pada tahun 2023 sekali gus melepasi paras pertumbuhan nasional iaitu 3.6 peratus dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM148.2 bilion.
Belanjawan Johor 2025 dibentangkan terus berpegang kepada enam teras di bawah Agenda Maju Johor merangkumi 244 inisiatif menjadikannya dokumen belanjawan yang holistik demi kesejahteraan rakyat.
#BelanjawanJohor2025
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor