2,657 UNIT LAMPU JALAN KAMPUNG SIAP DIPASANG


Penduduk Kampung Melayu Gelang Patah antara yang menerima manfaat Projek Lampu Jalan Kampung (LJK) jenis LED Fasa 11. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Sebanyak 2,657 unit lampu jalan telah siap dipasang membabitkan 899 kampung di seluruh Negeri Johor, sekali gus dapat menjayakan strategi memperluas jaringan jalan raya dan perhubungan di dalam Belanjawan Johor 2024.

 

Inisiatif yang turut melibatkan kerjasama antara Kerajaan Negeri serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) ini secara tidak langsung membolehkan penduduk kampung dapat menikmati kehidupan yang lebih baik terutama pada waktu malam.

 

Pelaksanaan Projek Lampu Jalan Kampung (LJK) jenis LED Fasa 11 di seluruh Negeri Johor telah melibatkan peruntukan keseluruhan RM5.6 juta itu telah dilaksanakan secara berperingkat bermula Mei tahun lalu bagi menceriakan kawasan kampung dan seterusnya menjamin keselamatan penduduk.

 

Antara menerima manfaat tersebut ialah kira-kira 700 penduduk Kampung Melayu Gelang Patah di sini yang menantikan lampu jalan untuk memudahkan pergerakan, selain dapat mengurangkan risiko kemalangan atau kejadian jenayah.

 

Bagi Rahizam Rahmat, Ketua Kampung Kampung Melayu Gelang Patah memberitahu kerjasama erat bersama Penghulu dan wakil rakyat kawasan tersebut telah membolehkan permohonan pemasangan lampu jalan diluluskan, sekali gus memberi keselesaan kepada penduduk kampung dan pengguna jalan raya.

 

Lapan tiang lampu yang dipasang di lokasi strategik berhampiran persimpangan jalan di kawasan kampung juga secara tidak langsung menambah keceriaan, pencahayaan dan keselamatan kerana ia melibatkan kawasan jalan terpencil dan berselekoh tajam.

 

Selain itu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan khususnya KKDW atas inisiatif murni berkenaan selain berharap agar ia dapat diteruskan bagi fasa seterusnya.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor